Friday, April 22, 2011

Nafas baru untuk basikal lama


Abdullah Mohd. Salleh melakukan kerja-kerja mengecat rangka basikal lama di bengkelnya di alor star.


SEJAK dahulu, sekitar 1950-an, basikal merupakan kenderaan popular walaupun kereta sudah boleh dilihat menjalar di jalan-jalan raya. Malah tentera Jepun menggunakan basikal melalui jalan darat dari Kota Bharu hingga ke Singapura untuk menjajah Malaya pada Perang Dunia Kedua.

Sekarang pun basikal masih menjadi kegunaan penting dalam kehidupan harian rakyat di negara ini. Ini termasuk ada individu yang menjulang nama Malaysia di mata dunia menerusi basikal.

Buktinya, aksi jaguh-jaguh berbasikal negara seperti Azizulhasni Awang dalam kejohanan bertaraf dunia. Cuma reka bentuk basikalnya yang berbeza mengikut peredaran zaman.

Namun kehadiran reka bentuk moden lebih ringan dan aerodinamik seperti mountain bike dan BMX yang menguasai pasaran pada ketika ini, basikal lama tetap ada pemintaan.

Basikal keluaran dahulu atau sering disebut sebagai basikal tua tetap bernilai dan menjadi koleksi penggemar atau pengumpul basikal klasik.

Bukan mudah untuk mendapatkan koleksi basikal klasik kerana pengeluarannya sudah lama dihentikan.

Jika ada pun hanya rangka yang boleh dianggap sebagai besi buruk. Untuk mencari sebuah basikal tua yang lengkap sekarang ini rasanya agak sukar.

Namun, dalam memelihara barangan klasik dan bernilai itu, rangka basikal tua tersebut boleh dibaiki bagi menghasilkan sebuah basikal yang lengkap.

Tetapi kerjanya tidak mudah. Ia bermula daripada proses mengutip rangka yang kebanyakannya tersandar di perdu pisang atau terbiar berkarat di bawah rumah. Rangka tanpa rim dan pedal itu biasanya ditinggalkan terbiar selepas tidak lagi digunakan.

Bagi peminat-peminat basikal tua atau klasik di utara, nama Abdullah Mohd. Salleh, 49, memang cukup dikenali.

Ada yang menggelarnya ‘doktor’ basikal tua kerana keupayaannya merawat dan memulihkan kenderaan berkenaan daripada buruk sehingga cantik menawan.

Abdullah, 49, anak kelahiran Johor Bahru yang merantau ke negeri Kedah sekitar 1982 memulakan kerjayanya sebagai kakitangan sebuah syarikat pemaju perumahan.

Permintaan yang tinggi

Dia tertarik dengan kerja-kerja membaiki basikal kerana melihat bidang berkenaan mempunyai potensi cukup luas. Apatah lagi ia jarang diterokai golongan Bumiputera.

Atas minatnya itu, Abdullah telah mengikuti bengkel Perantisan Perniagaan Peruncitan Basikal anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) selama 21 hari di Kuala Lumpur pada 2004 sebelum membuat kerja-kerja membaiki basikal secara sampingan.

Akhirnya, dia mengambil keputusan membuka kedai basikal yang diberi nama Zone Dinar di Jalan Kuala, Alor Setar, tiga tahun kemudian.

Minat yang mendalam terhadap basikal klasik juga membawa Abdullah menyertai Persatuan Gerek Tua Alor Setar (Getuas).

Ternyata tindakan itu membantu perniagaannya berkembang cepat kerana ahli-ahli persatuan tersebut menjadi sebahagian daripada pelanggannya.

Menurut Abdullah, ramai pelanggan termasuk ahli Getuas menghantar basikal klasik atau lebih dikenali di Kedah sebagai gerek tua ke kedainya untuk diperbaiki atau diselenggara.

Malah ada memintanya memasang semula basikal tua yang baru dibeli.

Dia berkata, kebanyakan basikal klasik yang dipasangnya adalah buatan England keluaran 1930-an hingga 1950-an seperti jenama Raleigh, Hercules, BSA, Royal Enfield, Hopper, Rudge, King Edwards, Phillips dan Robin Hoods.

Selain itu, terdapat basikal klasik keluaran negara lain terutama Belanda. Antaranya yang begitu popular ialah Valuas, Gazelle Fongkras, Batavia dan Phillips.

Namun, ia tidak dapat menandingi basikal klasik keluaran England kerana mendapat permintaan yang tinggi di negara ini.

Ini disebabkan oleh sejarah atau kesan penjajahan British di negara ini suatu ketika dahulu manakala basikal klasik Belanda lebih popular di Indonesia, negara yang pernah dijajah negara itu.

“Kadang-kadang mereka (pelanggan) menghantar secara berasingan rangka, pedal, rim, tempat duduk dan pemegang.

“Malah ada komponen yang tidak mencukupi untuk menjadikannya sebuah basikal lengkap sehingga saya terpaksa mencari alatan ganti di merata tempat termasuk ke seluruh Perak, Pulau Pinang dan Selangor, inilah yang mengambil masa agak panjang,” kata Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: