Friday, April 22, 2011

Rebut peluang

Juliana dan Amar.
Juliana dan Amar.
Juliana, Amar atur langkah untuk dikenali pelakon berwibawa

MUDA, berwajah menarik dan berbakat. Faktor itu tentu saja memberi ruang yang cukup selesa buat kedua-dua bakat ini untuk bertapak lebih kukuh dalam industri seni tempatan. Masih boleh dianggap baru, namun pelakon Juliana Evans dan Amar Baharin enggan mempersiakan segala peluang yang dihulurkan.Meskipun masih hijau, mereka juga mahu tampil dengan watak yang mampu meninggalkan kesan di hati peminat, memuaskan hati pengarah, seterusnya membolehkan mereka berdiri sama tinggi dengan nama hebat sedia ada.
Juliana dan Amar, berkongsi bidang lakonan sebagai karier, kali pertama digandingkan dalam sesi fotografi. Biarpun pada awalnya agak malu-malu, namun selepas beberapa ketika, kedua-duanya mula menunjukkan keserasian. Ketika itu, terserlah daya penarik yang ada dalam diri mereka.

Kesempatan itu juga digunakan kedua-duanya untuk berkongsi cerita dan pengalaman, bukan saja untuk pembaca Hip, malah untuk semua peminat di luar sana.

Bersara seketika demi pelajaran

BAGI Juliana atau lebih mesra dipanggil Jue, dirinya kini sibuk dengan pengajian akhir jurusan Komunikasi Masa di sebuah kolej swasta dan sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan minggu depan.
“Buat masa sekarang saya berhenti berlakon seketika kerana ingin menumpukan perhatian kepada peperiksaan. Sudah tiga bulan saya berhenti berlakon untuk tujuan berkenaan. Begitupun, saya tetap mencuri waktu untuk menjayakan sesi fotografi dan menghadiri mana-mana perjumpaan diaturkan," katanya yang sempat beraksi dalam filem arahan Ahmad Idham, Hantu Boncing, sebelum menutup buku lakonan buat sementara.

Gadis berusia 22 tahun ini, lima tahun dalam dunia seni banyak memberikannya ruang untuk mempelajari ilmu lakonan daripada pelakon senior.

Jue mengaku, dia tidak segan bertanya kepada pelakon lebih berpengalaman mengenai cara dan teknik yang betul ketika menjiwai watak, malah baginya segala ilmu yang diajarkan adalah pemangkin untuk memperbaiki mutu persembahannya di depan kamera.

“Memang rasa kecil dan rendah diri sebab berlakon dengan senior, malah takut pun ada tapi saya anggap mereka sebagai pembimbing dan guru dalam memberi tunjuk ajar.

“Agak kekok sebenarnya berlakon dengan senior sebab kita masih baru dan banyak kesilapan yang akan kita lakukan, tetapi pelakon lama yang pernah digandingkan dengan saya tidak pernah merungut, bahkan tidak segan untuk memberikan tunjuk ajar,” katanya yang turut dikenali menerusi drama Kasut Tumit Tinggi dan Natrah.

Gadis ini turut mendedahkan, wataknya sebagai Natrah antara yang paling mencabar kerana dia terpaksa menjiwai zaman kanak-kanak dan dewasa wanita itu yang penuh dengan emosi. Watak itu juga membuatkan air matanya gugur, walaupun dia tidak pernah menangis ketika menjayakan watak sedih sebelum ini.

“Saya seorang yang sukar untuk mengalirkan air mata, tetapi ketika melakonkan watak Natrah, hati saya betul-betul tersentuh dan mudah menangis,” katanya.

Dia turut mengimpikan watak lebih mencabar dan menguji kewibawaannya pada masa depan, seperti watak gadis gila atau jahat kerana peranan sedemikian dirasakannya mampu mengubah persepsi penonton terhadap karektor sebenar dirinya.

Sedikit bosan dengan watak gadis lembut dan sopan santun, bagi Jue, watak sebegini mampu membuka mata pengarah bahawa dirinya juga boleh membawa pelbagai watak lebih mencabar.

“Saya sudah jemu dengan watak baik, lemah lembut dan sopan santun, jadi saya nak cuba watak lain pula lebih mencabar pula. Bila kita cuba buat watak yang di luar tanggapan orang, ini akan lebih meyakinkan pengarah bahawa kita juga mampu bawakan watak seperti orang lain dan tak bergantung pada watak yang sama saja,” katanya.

Dari gimnasium ke bidang lakonan

SAAT ini, mungkin ramai yang mula mengenali Amar Baharin apabila dia menyertai Anak Wayang. Begitupun ramai yang tidak tahu pelakon muda berbakat ini asalnya seorang jurulatih peribadi gimnasium.

Kini jejaka berusia 26 tahun ini kian sibuk dengan tawaran berlakon, bahkan sejak keluar daripada program terbabit, dianggarkan 20 drama sudah dibintanginya.

“Sekarang saya sibuk menjalani penggambaran drama Laila Manja untuk slot di TV3. Saya memegang watak Manja bergandingan dengan Puteri Sarah Liyana, Ellie Suriaty, Zul Ariffin dan Iqram Dinzly,” katanya.

Seperti Juliana, dia turut berasa bertuah dapat bergandingan dengan pelakon senior, bahkan menganggap peluang diberikan itu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.

Menerima apa saja tawaran dan watak yang diberikan menjadi titik permulaan buat Amar dalam menggerakkan namanya ke tahap lebih baik agar dikenali pengarah serta diterima penonton.

Dia juga percaya, memiliki wajah tampan serta tubuh badan menarik saja tidak cukup jika tidak disertai bakat dan kebolehan dalam lakonan.

“Sebelum terbabit dengan Anak Wayang, saya banyak buat iklan komersial serta jurulatih gimnasium. Walaupun dulu saya belajar bidang kejuruteraan mekanikal, tapi nampaknya setelah tamat belajar saya ke bidang lain, sebagai jurulatih gimnasium dan kini pelakon pula,” katanya sambil tersenyum.

Berkongsi pengalamannya menjadi jurulatih peribadi, Amar mengakui sukar untuk membentuk imej pelanggan, namun setiap pelanggannya perlu mematuhi syarat yang ditetapkan bagi memiliki tubuh badan yang menarik.

Malah, Amar amat berbangga dapat menurunkan berat badan pelanggannya yang berusia 19 tahun sebanyak 11 kilogram sebulan. remaja itu pada awalnya seberat 98 kilogram. Ia pencapaian yang sukar dilupakannya.

Bukan saja berlakon, Amar turut berkebolehan dalam menggubah lagu menggunakan gitar, dan kini tiga lagu berada dalam simpanannya.

Kata jejaka ini, lagu dapat menenangkan jiwa tatkala dihimpit kegusaran dan tekanan kerja. Justeru, ada saja masa terluang, dia akan menggunakannya untuk menghasilkan lagu baru meskipun untuk simpanan sendiri.

“Saya sudah gubah tiga lagu tetapi belum ada liriknya lagi kerana sibuk dengan shooting. Mungkin lepas habis semua tugas baru fikir nak buat lirik dan berikan pada artis yang berminat kerana saya tak minat menyanyi,” katanya.

Minat bermain gitar sejak berusia sembilan tahun memberi inspirasi kepada Amar untuk bergiat dalam mencipta lagu, namun masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam bidang terbabit.

1 comment:

  1. salam semua pembaca blog gambar pilik.blogspot.com
    dan peminat artis

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: