VERSI asal muzikal broadway ini mula menemui khalayak di Imperial Theatre, Amerika Syarikat, sekitar 1981. Siapa yang boleh lupa muzikal dari Kota New York, Dreamgirls, yang berkisar mengenai tiga gadis kulit hitam yang memasang impian bergelar penyanyi terkenal? Sejak dipentaskan, karya hebat hasil kolaborasi Henry Krieger dan penulis lirik dan buku Tom Eyen ini terus mendapat sambutan menggalakkan sehingga mampu bertahan di panggung itu selama lima tahun.Sekitar 2006 pula, muzikal itu dipindahkan ke layar perak. Filem terbitan DreamWorks Pictures dan Paramount Pictures ini berjaya mencetuskan fenomena apabila menampilkan pelakon hebat seperti Jamie Foxx, Beyonce Knowles, Eddie Murphy dan Jennifer Hudson, serta dilatari lagu menarik sama ada irama lama diberi nafas baru ataupun ciptaan terkini.
Namun, untuk membawa pementasan berskala mega ini ke Malaysia ternyata bukanlah perkara yang mudah. Penerbit Eksekutif Dreamgirls, Casey Koh, berkata banyak syarat yang perlu dipatuhi penganjur sebelum lesen diberikan.
“Memandangkan teater ini sebuah teater yang besar dan terkenal di serata dunia, jadi misi untuk mendapatkan lesen untuk mementaskannya di sini memang payah.
Antara syarat yang diberikan ialah jalan ceritanya serta skrip haruslah dikekalkan. Kami tidak dibenarkan mengubahnya walau sedikit pun.
“Cabaran lain yang terpaksa kami hadapi adalah untuk mencari pelakon sesuai untuk membawakan watak utama dalam muzikal ini. Bagaimanapun, akhirnya kami berjaya temui apa yang kami kehendaki,” katanya pada sidang media muzikal itu di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, Selasa lalu.
Hadir sama adalah Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli; Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani; pengarah pementasan, Joanna Bessey; dan koreografer, Michael Xavier Voon.
Ketika diminta mengulas pemilihan Dreamgirls untuk disajikan kepada penonton, Casey berkata tema cerita itu yang menyentuh realiti dunia hiburan membuatkan dia berasakan ia cukup relevan untuk dipentaskan di sini.
“Muzikal ini menceritakan dunia showbiz yang penuh dengan suka, duka, glamor, populariti serta jatuh dan bangunnya seorang penyanyi. Perkara ini juga ialah realiti dalam dunia hiburan kita. Jadi kami berasakan pilihan untuk membawa pementasan ini ke sini adalah tepat.
“Pada masa yang sama, walaupun muzikal ini tidak diubah dari segi skrip serta jalan ceritanya, kami tetap menyesuaikannya dengan budaya Malaysia,” jelas Casey yang juga bertindak sebagai pengarah muzik untuk muzikal itu.
Sementara itu, ketika ditanya apakah bentuk cabaran yang bakal dihadapi apabila memikul tanggungjawab sebagai pengarah, Joanna memberitahu, dia perlu memastikan setiap pelakon harus menepati kriteria dan watak mereka mesti sama dengan versi asal.
“Latar masa muzikal ini diambil sekitar era 1960-an dan 70-an dan saya harus memastikan cara percakapan, gaya mereka sama dengan tahun itu. Loghat Inggeris yang digunakan juga perlu dijaga. Memandangkan muzikal ini mengetengahkan pelakon kulit hitam sebagai watak utamanya, saya juga kena mengikut loghat percakapan seharian mereka,” ujar Joanna yang setakat ini amat berpuas hati dengan komitmen diberikan pelakon utama.
Pada majlis itu, tetamu juga turut diperkenalkan dengan pelakon utama muzikal itu yang terdiri daripada Cheryl Samad, Elvira Arul, Tony Eusoff, Azura Zainal, Ruzana Ibrahim, Dafi dan Indi Nadarajah.
Korban rambut demi Deena Jones
SAAT dimaklumkan watak Deena Jones menjadi miliknya, perasaan berdebar dan gementar terus bermain dalam diri Cheryl. Bukan tidak yakin dengan kebolehan diri, namun watak yang dipegang penyanyi Beyonce untuk versi filem itu membuatkan dia berasa takut dan tertanya-tanya apakah dia mampu memikul tanggungjawab itu.
“Bayangkan saya membawakan watak Deena, sedangkan pada hakikatnya saya sudah lama tidak menyanyi, iaitu kira-kira empat tahun. Suara pun sudah berkarat.
Bimbang juga nanti saya tidak dapat mencapai piawaian yang diharapkan. Namun dengan adanya bengkel latihan serta bimbingan daripada pengarah vokal Babes Conde, saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar.
“Bagaimanapun, sebaik saja dimaklumkan saya berjaya mendapat watak itu, atas inisiatif sendiri, saya berlatih vokal dengan guru lama saya untuk memantapkan lagi vokal ini,” katanya teruja.
Demi menghidupkan lagi watak itu, penampilan Cheryl harus diubah dan untuk itu, pengacara Muzik-Muzik ini sanggup berkorban kerananya.
“Rambut saya yang panjang paras bahu ini akan dipotong pendek. Ia memudahkan saya memakai cemara memandangkan dalam muzikal ini kami harus memakainya untuk kelihatan bergaya,” kata Cheryl yang julung kali berlakon di IB dengan memegang watak utama.
Walaupun sudah membina nama dalam arena muzik bebas, namun ini adalah kali pertama Elvira memberanikan diri menceburi teater muzikal arus perdana.
Ternyata kelebihannya memiliki vokal mantap serta berpengalaman dalam bidang nyanyian lebih sedekad, membuatkan watak Effie White berjaya menjadi miliknya.
“Saya datang untuk uji bakat teater ini hanya untuk watak Effie White. Watak itu menjadi pilihan saya kerana saya berasakan kami punya persamaan. Seperti Effie, saya mempunyai impian bergelar penyanyi ternama satu hari nanti dan saya tidak akan putus asa demi mencapai cita-cita itu,” kata Elvira yang bakal mengeluarkan album sulungnya tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: