ENDAU: Pantai Penyabong adalah antara destinasi percutian yang terkenal di Mersing, yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga serta rakan pada hujung minggu dan cuti umum.Namun, orang ramai yang menggunakan jalan raya untuk pergi ke pantai berkenaan perlu berhati-hati serta tidak memandu laju kerana bahaya yang boleh menimpa mereka secara tiba-tiba.
Pengunjung dari Batu Pahat, Sayuti Saliman, 42, berkata selain terpaksa mengelak najis lembu yang bertaburan atas jalan raya di laluan ke pantai berkenaan, pemandu juga perlu berhati-hati kerana babi hutan dan lembu sering melintas.
Beliau yang sudah beberapa kali mengunjungi Pantai Penyabong, mengakui keindahan dan kemudahan chalet yang disediakan di kawasan itu memang menarik dan sesuai untuk dijadikan destinasi rekreasi bersama keluarga.
“Saya suka ke sini, cuma perjalanan untuk sampai di sini agak terganggu akibat sikap tidak bertanggungjawab penternak yang membiarkan lembu berkeliaran dan tidur atas jalan raya, selain meninggalkan najisnya yang mengotorkan kenderaan.
“Pernah sekali, ketika mengelak daripada terlanggar sekumpulan lembu, tiba-tiba babi hutan pula muncul secara tiba-tiba keluar dari belukar berhampiran, nasib baik tidak berlaku kemalangan,” katanya.
Tinjauan Edisi Johor ke pantai itu baru-baru ini mendapati masalah berkenaan lebih ketara pada waktu petang dan kelibat sekumpulan babi hutan melintas tanpa menghiraukan kenderaan turut sempat dirakamkan.
Difahamkan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal dengan babi hutan berlaku di kawasan itu, selain kereta penduduk dan pengunjung dari luar juga pernah terbabit dalam kemalangan, namun setakat ini tiada membabitkan kehilangan nyawa.
Justeru itu, bagi menjaga imej Pantai Penyabong serta mengurangkan risiko kemalangan, penduduk dan pengunjung berharap pemilik haiwan terutama lembu, mengurung ternakan mereka khususnya pada waktu malam.
Pemilik kebun di kawasan berkenaan juga perlu sentiasa membersihkan semak-samun bagi mengurangkannya menjadi habitat babi hutan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: