Wednesday, April 20, 2011

Prestasi Bank Rakyat semakin cemerlang

Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM444.5 juta, peningkatan 9.1 peratus atau RM37.2 juta berbanding RM407.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2011 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam kenyataan medianya, bank itu berkata, peningkatan keuntungan itu secara keseluruhannya dicapai berikutan peningkatan pendapatan pembiayaan selari dengan pertumbuhan kukuh baki pembiayaan dan pengukuhan kualiti aset.

“Pembiayaan konsumer adalah fokus utama perniagaan bank yang menyumbang 88.3 peratus daripada keseluruhan pembiayaan Bank Rakyat pada suku pertama 2011.

”Dari segi portfolio pembiayaan, sektor peribadi menguasai 83.6 peratus daripada keseluruhan pembiayaan konsumer,” katanya.

Dalam tempoh yang sama, bank itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM369.8 juta berbanding RM312.5 juta pada tahun sebelumnya meningkat 18.3 peratus atau RM57.3 juta.

Jumlah pendapatan kasar juga meningkat 16.1 peratus atau RM180.9 juta kepada RM1.30 bilion berbanding RM1.12 bilion tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit pula meningkat 1.3 pertus atau RM10.5 juta kepada RM847.7 juta hasil daripada pertumbuhan yang kukuh bagi pembiayaan, deposit serta penambahbaikan yang berterusan ke atas kualiti aset.

Jumlah deposit Bank Rakyat pula meningkat 28.3 peratus atau RM11.32 bilion kepada RM51.29 bilion berbanding RM39.97 bilion pada bulan yang sama tahun lalu.

Dana pemegang saham meningkat 17.0 peratus atau RM918.4 juta kepada RM6.33 bilion berbanding RM5.41 bilion, bulan yang sama tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: