Wednesday, April 20, 2011

Malaysia kini destinasi tumpuan pelabur Jepun



Pelabur Jepun dilihat mula menanam minat melabur di Malaysia apabila negara itu menyatakan hasrat melaksanakan dasar pandang ke Malaysia tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kedudukan Malaysia yang selamat daripada bencana alam bersama kemajuan infrastruktur dalam bidang yang difokuskan mereka menjadi faktor untuk mereka terus bertapak di sini.

“Keupayaan negara menyediakan kemudahan canggih dalam beberapa sektor seperti pusat data, elektrik dan elektronik mampu mendorong minat berterusan selain sedar Malaysia bukan lagi negara pelaburan berintensif buruh,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Karangkraf di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, dalam beberapa sektor penting lain seperti solar, Malaysia juga telah menunjukkan kemampuan apabila mempunyai kecanggihan tersendiri sekali gus menjadikan negara ini destinasi paling sesuai untuk mengembangkan industri itu dirantau ini.

“Hubungan Malaysia Jepun kini semakin berkembang pesat, apabila eksport dagangan sehingga Februari lalu mencatatkan RM6.1 bilion manakala import RM5.01 bilion dan menguasai sektor elektrik dan elektronik,” katanya.

Beliau berkata, Jepun juga kini dilihat memanfaatkan pemansuhan duti import ke atas barangan yang dilaksanakan Malaysia sebagai laluan perniagaan untuk masuk ke pasaran China setelah hubungan kedua-dua negara itu pernah mengalami ketegangan.

Katanya, hubungan Malaysia-Jepun berkembang pesat sejak 50 tahun lalu dan negara itu adalah sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar bagi negara ini tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: