Thursday, April 21, 2011

PNB tetap lima KPI

AHMAD SARJI...sasar agih dividen tinggi
AHMAD SARJI...sasar agih dividen tinggi

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) menetapkan lima Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi memperkukuhkan kedudukan pegangan pelaburan dalam unit saham amanah yang diuruskan dan meningkatkan purata pegangan masing-masing.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, sehingga Februari lalu unit amanah PNB dalam edaran kini sudah mencecah 127 bilion unit manakala, jumlah pemegang akaun pula sebanyak 10.4 juta yang mana 9.2 juta membabitkan Bumiputera manakala, 1.2 juta dimiliki bukan Bumiputera.


“Sehubungan itu, kami juga menyasarkan untuk meningkatkan purata pegangan pelaburan kepada 12,300 unit bagi setiap pemegang akaun. “Kami juga akan terus meningkatkan pegangan ekuiti dalam syarikat terpilih, sekali gus mampu menyalurkan dividen yang tinggi kepada PNB untuk diagihkan kepada setiap pelabur,” katanya dalam ucapannya pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 (MSAM 2011) di Ipoh, Perak semalam.

Perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.


Katanya, buat masa ini, PNB memiliki ekuiti dalam 225 buah syarikat dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk perbankan; takaful; kewangan Islam, perladangan, hartanah, pelabuhan dan logistik, automotif dan farmaseutikal.

Ahmad Sarji berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk memiliki modal saham pada kadar yang besar selain memiliki hartanah di kawasan pertumbuhan ekonomi yang boleh mendatangkan keuntungan.


“Buat masa ini, Permodalan Hartanah Nasional Bhd (PHNB) menguruskan dua amanah pelaburan hartanah (Reit) membabitkan nilai RM1.24 bilion, manakala pemilikan hartanah secara terus oleh PNB pula bernilai RM2.87 bilion,” katanya.Katanya, pihaknya juga akan terus berusaha mengagihkan dividen dan bonus pada kadar kompetitif kepada setiap pelabur. Sementara itu, Ahmad Sarji berkata, terdapat tiga amanah saham yang masih boleh dilanggan Bumiputera iaitu Amanah Saham Nasional 3 Imbang (876 juta unit), Amanah Saham Gemilang (886 juta unit) dan unit Amanah Saham 1 Malaysia (AS 1Malaysia). MSAM 2011 kini berlangsung di Stadium Indera Mulia, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan berakhir Ahad depan adalah edisi jelajah ke-12 yang diperkenalkan PNB sejak tahun 2000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: