LAMA tidak ketemu, wajah si gadis ini kian manis dan anggun. Sejak mengenakan tudung hampir setahun lalu dan mengumumkan pertunangannya, Farah Diana Anuar lebih ayu setiap kali senyum meleret. Hakikatnya, gadis peramah berusia 26 tahun ini sudah dewasa dan melangkah ke fasa baru dalam utopianya.
Peluang mendekatinya ketika bertemu dengannya baru-baru ini, memberi peluang kepadanya meluahkan rasa rindu yang teramat dalam jiwanya.
Enggan lama persoalan cenderung ke arah kisah tunangannya kerana gusar terlalu banyak pula sisi peribadi yang didedahkan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mencari helah memusingkan cerita.
Terdiam mencari jalan menyusun bicara, sesekali bersedia ditanya soal peribadi yang cukup dibimbangkan, Farah yang pernah menjulang anugerah Artis Harapan Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM12) dan Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 (ABPBH) mula berkongsi cerita.
“Sebenarnya, lama ingin diceritakan kepada semua baik teman media mahupun peminat yang tidak henti bertanya. Saya terlalu rindu untuk kembali ke studio bagi merakamkan lagu baru. Itu adalah satu perkara yang memang menjadi impian buat masa ini.“Mungkin asalnya melang�kah ke industri hiburan, status itu sudah melekat jauh ke dalam hati, kononnya ingin menjadi penyanyi, justeru ke mana pun saya mencuba, tetap akhirnya mikrofon dan pentas juga menjadi kepuasan.
“Insiden penutupan syarikat rakaman Maestro ketika album kedua, Fantasia ingin dipasarkan adalah sesuatu yang sukar dilupakan. Itu adalah mimpi ngeri yang pernah berlaku dalam perjalanan seni saya sepanjang tujuh tahun.
“Siapa sangka, segala usaha dan penat lelah dalam menyempurnakan album itu semuanya berkecai begitu saja. Semua lagu itu terus terkubur dan album yang kononnya bakal melonjakkan lagi kerjaya nyanyian saya terus terperuk entah ke mana.
“Usah ditanya soal kecewa dan terkilan. Walaupun sudah lama saya lupakan, namun ia masih berbekas di dalam hati. Kerana itu juga saya ingin kembali melangsaikan apa yang tertinggal. Insya-Allah dalam tahun ini juga saya ingin merakamkan sekurang-kurangnya satu lagu bagi mengubati kerinduan peminat yang sentiasa menantikan lagu baru daripada saya,” katanya.
Anak ketiga daripada enam beradik ini gigih mengintai ruang bagi kembali berbincang bersama komposer dan sibuk meneliti pelan pemasaran untuk album terbarunya.
Meskipun sudah ramai beranggapan kerjaya nyanyiannya sudah berakhir, percaya atau tidak, undangan persembahan masih banyak mewarnai jadual seninya.
“Memang saya akui, rezeki dalam pengacaraan lebih cerah buat saya. Alhamdulillah, makin ramai pula pihak produksi yang percaya dengan kemampuan saya dalam mengendalikan sesebuah program televisyen.
“Rasa Halal Orient tayangan Astro Oasis umpamanya juga sudah lama bersama saya. Banyak negara sudah saya jelajahi seperti China, Taiwan dan Kemboja hingga musim terbaru, Rasa Halal Orient Vietnam.
“Malah saya juga turut mengacarakan program bual bicara pagi, Nasi Lemak Kopi O di TV9. Siapa sangka, saya juga boleh menjadi pengacara walaupun tidak sehebat mana. Setidak-tidaknya, saya begitu selesa dan seronok mengendalikan program ini.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana masih ada lagi undangan nyanyian buat saya kerana ikhlas saya sangat mencintai dunia nyanyian,” katanya yang pernah mengacarakan Fulus Mania dan menyimpan impian mempunyai program bual bicara sendiri satu hari nanti.
Lahir daripada gelanggang Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Farah juga sempat mempamerkan bakat lakonannya menerusi filem Man Laksa serta drama Akademi.
Agak jarang digosipkan dan Farah dikategorikan artis bersih gosip, berita pertunangannya pada sambutan Krismas yang lalu dengan seorang ahli perniagaan yang sebaya dengannya agak mengejutkan. Ramai yang ingin tahu siapa gerangan pemuda yang berjaya mencuri hatinya tetapi Farah mengambil sikap tidak terlalu bercerita si buah hatinya.
Tidak bimbang hilang populariti dan risau akan kerjaya seninya akan terganggu, Farah yakin dengan ketentuan yang sudah disuratkan buatnya.
“Mengapa mesti takut hilang populariti jika berkahwin. Itu adalah lumrah hidup dan usah menafikan sesuatu yang sudah ditentukan kepada kita. Saya percaya dengan semua yang sudah direncanakan kepada saya.
“Alhamdulillah tunang saya seorang yang sangat memahami dan sentiasa berdiri
di belakang menyokong kerjaya seni. Saya berasakan diri ini bertuah kerana memiliki insan sepertinya di dalam hidup saya.
“Justeru tidak timbul langsung soal bimbang dan gusar kerana akhirnya, perkahwinan adalah pengakhiran. Lagipun saya sudah dewasa dan sepatutnya memikirkan soal masa depan.
“Insya-Allah jika diberi rezeki dan ruang yang sama, kami ingin melang�sungkan perkahwinan selewat-lewatnya hujung tahun ini. Saya akan menjemput semua individu yang banyak membantu saya selama ini seperti keluarga, teman media dan peminat. Saya tidak akan merahsiakan perkara baik seperti ini sebaliknya berita perkahwinan itu nanti akan saya kongsi bersama semua,” katanya tersenyum.
Farah akan tampil membuat persembahan istimewa bersama barisan selebriti lain bagi memeriahkan sambutan Hari Ibu yang akan diadakan pada 15 Mei depan, jam 3 petang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.
Majlis amal ‘Kasihmu Ke Syurga’ anjuran Xtra Talent Production & Management ini akan turut mengundang Mawi dan Ayati Tasrip untuk sama menghiburkan peminat. Malah pengacara terkenal, Zizan Razak dan Sharifah Shahira pula tampil selaku pengacara majlis.
Tidak cukup dengan itu, penganjur turut mengundang pelakon cilik yang kini popular, Mia Sara untuk melakukan sedikit kejutan dan gimik di majlis itu nanti. Harga meja bermula dengan RM200 hingga RM550 untuk seorang. Hasil kutipan itu nanti akan didermakan ke Persatuan Ibu Tunggal Rumah Titian Kasih dan Sekolah Seni Malaysia, Johor Bahru.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Farah Diana Anuar
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1985
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
PROFESION: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk
JURUCAKAP PRODUK: Power Roots, Intimate, Syahirah
PROGRAM: Fulus Mania (Durian Runtuh) di Astro Ria, Rasa Halal Orient di Astro Oasis musim 1 hingga 5, Generasi Asli @ 1Malaysia, Nasi Lemak Kopi O di TV9
ALBUM: Antara Dua, Fantasia
DRAMA: Akademi
FILEM: Man Laksa
PENCAPAIAN: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: