|
|
JENAMA mewah Itali, MaxMara sering dikaitkan dengan kehidupan popular. Bertapak lebih 60 tahun dalam dunia fesyen, MaxMara turut menterjemah kehidupan glamor legenda terkenal, Grace Kelly sebagai ikon utama kepada himpunan berkenaan.
Jenama yang diasas oleh pereka, Achille Maramotti, kebanyakannya memenuhi cita rasa wanita moden yang inginkan kemewahan dalam berfesyen.
Tidak keterlaluan dikatakan koleksi MaxMara menampilkan sesuatu yang mahal dan eksklusif.
Bagi wanita yang ingin tampil elegan dan mempesona, himpunan musim bunga antara pilihan yang tepat.
Seperti koleksi MaxMara yang lain, ia masih kekal dengan ketelitian jahitan serta penggunaan fabrik mewah seperti sutera, kapas dan bercorak.
Kebanyakan koleksi kasual MaxMara mengetengahkan warna ceria oren, coklat, biru dan kuning.
Menggayakan koleksi ini ketika beristirehat atau bersantai amat tepat untuk gaya yang lebih ceria.
wanita moden
Kebiasaannya, fesyen ini lebih digemari wanita moden yang inginkan gaya yang lebih eksklusif.
Mana tidaknya, penampilan lebih menyerlah jika menggayakan himpunan ini di majlis keramaian yang dihadiri jemputan yang rata-ratanya memilih tema pakaian glamor.
Koleksi gaun malam atau koktel menampilkan rona cerah seperti kuning terang dan oren.
Tidak ketinggalan, MaxMara turut menampilkan koleksi untuk wanita yang lincah.
Himpunan lebih kasual sesuai untuk mereka yang inginkan penampilan lebih bergaya atau chic.
Tema ini serasi untuk wanita yang aktif dan bekerja tetapi masih menampakkan gaya yang anggun.
Pakaian ini boleh digayakan ke pejabat, mesyuarat atau berjumpa klien di luar pejabat.
Dalam mencari pakaian atau aksesori yang sepadan, penonjolan gaya feminin dan romantik sesuai untuk wanita moden. Tampil dengan warna sederhana seperti putih, merah samar, ungu, hitam dan kelabu, ia boleh digaya untuk majlis makan malam.
Sementara itu, jenama yang ditubuhkan pada tahun 1951 telah melebarkan sayapnya di negara ini menerusi pembukaan butik di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dan merupakan butik MaxMara terbesar di rantau Asia Tenggara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: