Sunday, April 10, 2011

Shita pemuja KFC nombor satu


Koleksi Colonel Sanders Around The World yang mewakili 16 negara termasuk Malaysia.


SESEORANG pasti teruja melihat himpunan cenderamata berjenama syarikat makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC) ini. Ada hiasan patung kartun, kereta mini, alat tulis, lencana, bingkai gambar, pinggan, tabung, tanah liat, alas gelas, buku nota, kole dan walkman.

Menariknya, kesemua barangan berkenaan adalah edisi terhad. Proses untuk memiliki setiap barangan mengambil masa dan dilalui dengan penuh sabar. Segala-galanya tidak mustahil buat Normashita Abdul Manap.

Mengimbas koleksi peribadi yang disusun rapi, Shita memberitahu, 'misi' mengumpul bermula seawal 1990 ketika dia masih di bangku sekolah.

Hatinya sering menjerit setiap kali melintas di restoran KFC di Bentong, Pahang. Dia ke situ hanya untuk melakukan aktiviti 'wajib' - sudah pastinya mengintai ruangan pameran berkaca di depan premis berkenaan.

Tujuan Shita untuk mencari apa yang terbaru dari KFC. Sama ada berbentuk promosi atau cenderamata yang ditawarkan. Antara yang menjadi minat utamanya adalah patung ayam KFC.

Berazam

Dari situ, anak sulung daripada lima beradik ini mula menanam azam mahu memiliki rangkaian cenderamata jenama KFC. ''Masih dalam ingatan, saya mengikat perut. Duit belanja ke sekolah saya simpan. Walaupun jumlahnya tak banyak tak mengapa. Saya kumpul sikit-sikit asalkan barangan cenderamata KFC dapat dibeli,'' katanya pada pertemuan baru-baru ini.

Ditanya apa yang menarik perhatian Shita untuk menjadi peminat nombor satu jenama makanan segera itu, wanita itu menyungging senyum.

Katanya, semuanya kerana logo KFC. Dia menjadi taksub dan mahu mengumpul seberapa banyak barangan dari rangkaian KFC. Selain itu, Shita tertarik dengan kombinasi warna terang iaitu merah dan kuning.

Tidak hairanlah kalau Shita sudah memiliki lebih 100 koleksi barangan cenderamata KFC. Semuanya disimpan baik di almari lutsinar manakala sebahagian lagi disimpan baik di plastik.

Mengajukan persoalan sama ada Shita akan berhenti mengumpul barangan cenderamata KFC, pantas peminat penyanyi Datuk Siti Nurhaliza ini menggelengkan kepala.

Anak kebanggaan Abdul Manap Abdul Aziz dan Normah Hanipah itu tidak berhajat untuk berhenti menyokong produk keluaran KFC.

Pembantu tukang masak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting (GICC) Pahang itu juga menegaskan hobinya bersifat sentimental.

Ditanya lanjut tentang perincian minatnya, dia menyatakan bahawa kesemua koleksinya itu antara 'harta' berharga setakat ini.

Apatah selepas asetnya menjadi rebutan setiap kali anak saudaranya pulang ke rumah kediaman ibu bapanya di Kampung Bukit Piatu, Bentong Pahang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: