BAGI mendekatkan lagi para peminat dengan 12 pelajar program realiti televisyen (TV), Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9), Astro Ria mengambil pendekatan mendedahkan aktiviti-aktiviti pembelajaran di akademi itu secara terbuka.
Para peminat berpeluang melihat 12 pelajar akademi itu belajar menyanyi, menari dan mendapat tunjuk ajar daripada lima tenaga pengajarnya di bahagian tengah ruang legar pusat membeli belah AEON, Jusco, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada setiap hari.
AF9 menempatkan kelas-kelas di situ bagi membolehkan para peminat melihat secara langsung dari luar dinding kaca. Tirai AF akan dimulakan pada 2 April ini pada pukul 9 malam dengan pengacaranya, Aznil Nawawi.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, ini adalah kali pertama AF menggunakan pendekatan itu yang bertujuan mendekatkan para peminat dengan para pelajar pujaan mereka.
"Ini adalah pendekatan baru kami bagi memberi peluang para penonton melihat kelainan musim ini. Daripada situ para peminat boleh mengambil gambar dan melihat sendiri pengalaman di depan mata pada sesi pembelajaran AF9.
"Malah, tiada lagi kamera yang disorokkan dalam akademi itu sebaliknya ada kamera yang akan dibawa masuk bagi merakamkan aksi-aksi pembelajaran para pelajar AF9 yang akan dimuatkan dalam segmen Diari AF.
"Selain itu, kita juga menyediakan kamera web dan kemudahan live streaming bagi memudahkan interaksi para pelajar dengan dunia luar. Tetapi telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa masuk ke akademi itu," katanya.
Azlin yang ditemui selepas memperkenalkan 12 pelajar AF9 di AEON, Jusco itu berkata, AF9 ditempatkan di situ kerana kemudahan logistik selain tempat tinggal para pelajar akademi terbabit yang disediakan juga berdekatan pusat membeli-belah tersebut.
Biarpun terdedah dengan para pengunjung pusat membeli-belah itu, tetapi kawalan keselamatan tetap akan dititikberatkan agar para pelajar AF9 dapat belajar dengan selesa.
"Kami akan sediakan pengawal-pengawal keselamatan bagi mengawasi akademi ini yang bagaikan sebuah rumah kaca. Sehinggakan kalau ada pelajar yang mahu ke tandas, mereka akan diiringi oleh pengawal terbabit," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: