KUMPULAN rock popular tanah air, Wings bakal mengadakan satu konsert di Singapura sekiranya segala perancangan dan perbincangan yang dilakukan oleh penganjur, Red On Black, berjalan lancar.
Menurut Pengurus Urusan Red On Black, Solih Toha, sudah tiba masanya Wings menghiburkan peminat mereka di Singapura.
Menyedari Konsert Wings Opera Hidup 'Superfriends' masih belum dipentaskan di Istana Budaya, Solih berani untuk tampil dengan cadangan membawa Wings ke negara republik itu.
"Sebenarnya, Konsert Wings Opera Hidup 'Superfriends' yang akan diadakan pada 29 April sehingga 1 Mei ini nanti merupakan pembuka pintu rezeki kepada penyanyi rock tanah air agar mereka boleh mencari makan menerusi persembahan (konsert).
"Saya berani untuk membawa konsert yang serupa macam Wings Opera Hidup 'Superfriends' ke luar kerana Wings mempunyai ramai pengikut setia yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepada kumpulan rock tanah air itu.
"Selepas Wings habis mengadakan persembahan mereka di Istana Budaya pada 1 Mei ini nanti, saya memang berhasrat untuk membawa Konsert Wings Opera Hidup 'Superftiends' ke Singapura pula.
"Setakat ini, perancangan sedang dilakukan. Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah, para peminat Wings dan 'superfriends' di Singapura akan dapat menyaksikan persembahan mereka nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Hits ketika ditemui sebelum bermulanya majlis sidang akhbar Konsert Wings Opera Hidup 'Superfriends' yang diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, diperkenalkan 16 artis rock lain yang terlibat menjayakan konsert itu.
Antaranya, Ramli Sarip, Rosli Mohalim (Sweet Charity), Nash (Lefhanded), Hattan, Yantzen, Mus (Wings), Eddrie Hashim, Hillary Ang dan Lola.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaari turut hadir pada sidang akhbar itu.
Sebagai penganjur utama Konsert Wings Opera Hidup 'Superfriends' , persembahan Wings bersama Search dan Ella pada Oktober tahun lepas di Kuantan, Pahang yang mendapat sambutan hangat daripada peminat muzik rock menjadi titik permulaan baginya untuk menaja Wings mengadakan konsert di Istana Budaya.
"Dari situ, kita bekerjasama dengan Bombbay Worldwide, Anggerik Event. Sdn. Bhd., dan Istana Budaya untuk menyajikan Konsert Wings Opera Hidup 'Superfriends' di Istana Budayai.
"Selepas Singapura, saya berhasrat untuk membawa Wings dan rakan-rakannya ke Brunei pula," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: