Friday, April 1, 2011

Monolog kecewa Fauziah Nawi


FAUZIAH NAWI


AKTRES veteran terkenal tanah air, Fauziah Nawi, 58, meluahkan kekecewaannya sepanjang hampir 40 tahun bergelar anak seni apabila berasa dianaktirikan di tanah kelahirannya sendiri.

Sebagai aktivis teater, anak jati Ipoh, Perak itu sedih apabila mengenangkan negara luar lebih menghargai bakat lakonannya berbanding warga tempatan dalam memartabatkan dunia seni teater.

Menceritakan sedikit keperitan yang dihadapinya, pelakon yang mesra membahasakan dirinya sebagai ibu itu berkata, sambutan yang diterima ketika mementaskan teater monolog Cinta Julia di Esplanade, Singapura pada Oktober tahun lalu begitu di luar jangkaan.

"Saat saya menjejakkan kaki di Kota Singa itu, hati saya cukup tersentuh apabila melihat beberapa poster gergasi Cinta Julia yang memaparkan wajah saya digantung dan ditampal di beberapa lokasi sekitar kota raya tersebut.

"Bukan itu sahaja, bahkan tiket pementasan solo itu habis dijual seminggu sebelum persembahan. Melihat mereka yang datang juga membuatkan saya sebak kerana sejak dari awal saya risau jika sambutannya nanti dingin.

"Namun melihat wanita sebaya saya melangkah masuk beramai-ramai, hati saya terus bersemangat semula. Senario itu cukup berbeza jika dibandingkan dengan keadaan di sini," cerita Fauziah meluahkan isi hatinya.

Lebih mengharukan, pengkritik tetap program realiti Pilih Kasih musim kedua itu menjelaskan, terdapat seorang mat salih yang bertanyakan kepadanya, adakah dia mendapat pendidikan teater di Amerika Syarikat atau dari mana-mana negara luar lain.

Bagaimanapun jawab Fauziah, dia hanya berguru dengan dua aktivis teater tempatan tersohor, Allahyarham Mustafa Noor dan Ahmad Yatim yang juga merupakan idolanya.

"Saya diajar untuk berlakon mengikut skrip asal tanpa perlu mengurang atau menambah sepatah perkataan lain sekalipun.

"Setiap perkataan mungkin nampak sama tapi punya maksud berbeza. Bahasa dan skrip yang sudah cantik tidak perlu dirosakkan.

"Secara peribadi, saya cukup suka dengan pelakon Eman Manan, Zul Huzaimy, Hisham Ahmad Tajudin, Elly Suriati, Aqasha dan Almy Nadia yang berjaya mengikut skrip dengan betul," ulas Fauziah yang berasa pelik dengan segelintir pelakon muda yang begitu mudah menggunakan dialog sendiri tanpa rasa bersalah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: