Nilai 3, yang terkenal dengan pusat borong dan peruncitannya, akan di naik taraf sebagai kawasan membeli belah yang moden dan bertaraf antarabangsa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan itu mempunyai banyak lagi tanah yang boleh dibangunkan.
Malah, pihak kementerian sedang menarik para pelabur seperti Ikano dan Courts serta syarikat pasar raya besar antarabangsa datang melabur ke sini.
“Kerajaan mahu bantu pengusaha di sini, kita mahu menarik ramai orang termasuk rakyat Singapura dan Brunei berbelanja. Ini merupakan salah satu produk perniagaan yang boleh kita bantu untuk menambahkan perbelanjaan negara,” katanya selepas melawat Nilai 3, baru-baru ini.
Bagaimana pun, beliau enggan menjelaskan nilai pelaburan yang disasarkan masuk ke Nilai 3 tetapi kerajaan akan berbincang dengan para pelabur menjelaskan potensi yang sedia wujud di kawasan ini.
Sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan Nilai 3, sebuah bazar makan yang lebih tersusun dan moden akan dibina mendahului projek-projek lain yang sedang dibincangkan.
Menurutnya, selain Nilai 3, kerajaan juga sedang merancang untuk membangunkan Nusajaya di Johor sebagai satu lagi kawasan pusat membeli belah yang berdaya maju dan lebih berdaya saing.
“Ini semua merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan yang menyasarkan pembangunan ekonomi negara dan rakyat melalui sektor peruncitan dan pemborongan yang juga merupakan antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: