Sunday, April 24, 2011

Perbendaharaan mahu negara bersaing capai taraf maju 2020

IPOH - Perbendaharaan Malaysia bakal melaksanakan kajian dalam bidang inovasi dan inovatif agar Malaysia mampu bersaing dengan negara lain setelah mencapai taraf maju pada 2020 kelak.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, bidang berkenaan sememangnya perlu dipertingkatkan dalam menghadapi persaingan sengit ekonomi dunia hari ini.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan memastikan Malaysia terus bersaing dengan negara yang berada jauh ke hadapan hasil pemindahan teknologi yang dibuat setelah beberapa negara maju membuat pelaburan di negara-negara berkenaan.

"Dari segi ekonomi dunia sekarang ini. persaingan agak sengit. Kita sendiri tidak tahu adakah Amerika Syarikat atau China menjadi kuasa besar pada masa depan.

"Semuanya bergantung kepada bidang inovasi dan inovatif selain kesan kepada pelaburan di luar negara kerana banyak negara lain kini telah mengorak langkah ke arah itu seperti India," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan program Gotong-Royong Bersama Penduduk Kampung Ulu Chepor dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta Sempena Ulang Tahun Hari Polis ke-204 di Kampung Ulu Chepor, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi memulakan proses tersebut, kerajaan memberi tumpuan kepada pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan seterusnya universiti dalam menghasilkan ramai graduan bertaraf Phd.

Menurutnya, Perbendaharaan sedang mengkaji bagaimana mewujudkan kontrak berpusat kepada produk-produk ini serta mewujudkan laluan hijau (:green lane:) kepada syarikat-syarikat ini untuk memudahkan mendapatkan sokongan dari kerajaan.

Katanya, melalui pihak Perbendaharaan, Kerajaan kini juga sedang menyediakan struktur tertentu khususnya bagaimana untuk membantu syarikat-syarikat di negara ini menjadi pengeluar produk-produk inovasi dan inovatif ini di masa depan.

"Kerajaan akan mengeluarkan kontrak berpusat membantu syarikat berkenaan sebagai asas membolehkan mereka menyiapkan pesanan tempatan dan luar negara.

“Selain itu, sokongan kepada produk ini perlu kerana negara bersaing dalam era globalisasi pada hari ini. Kita tidak mungkin lagi boleh bergantung produk sedia ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: