Sunday, April 24, 2011

JCorp menang dua anugerah ADFIAP

Johor Corporation (JCorp) berjaya memenangi dua anugerah daripada Persatuan Pembangunan Institusi Kewangan Asia dan Pacific (ADFIAP) baru-baru ini merangkumi dua projek di bawah tanggungjawab sosial koporat (CSR).

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, anugerah tersebut adalah Anugerah Khas Bagi Laporan Tahunan Terbaik dan Anugerah Projek Pembangunan Cemerlang bagi CSR.

Majlis penganugerahan berlangsung di Acapulco Beach Club Resort Hotel, Kyrenia di North Cyprus.

Beliau berkata, dua projek di bawah CSR adalah Bridged Waqaf dan Hospital Waqaf An-Nur & Rangkaian Klinik Waqaf An-Nur dibawah pengurusan Jabatan Bisnes Amal dengan kerjasama syarikat-syarikat dalam kumpulan JCorp.

“JCorp sebuah agensi negeri yang mempunyai lebih daripada 260 buah syarikat dianggotai lebih 70,000 pekerja dan mempunyai rekod prestasi perniagaan yang kukuh sejak empat dekat penubuhannya.

“Tujuh syarikat JCorp tersenarai di Bursa Malaysia, iaitu masing-masing di Port Moresby (Papua New Guinea) dan Bursa Saham London,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

ADFIAP adalah tumpuan utama bank-bank pembangunan dan institusi kewangan yang terlibat di dalam pembiayaan pembangunan lestari rantau Asia Pasifik.

ADFIAP juga sebuah pertubuhan bukan kerajaan berstatus perunding dengan Majlis Ekonomi dan Sosial United Nation selain menjadi organisasi antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan dan pegangan saham yang beribu pejabat di Manila, Filipina.

Diasaskan tahun 1976, ADFIAP kini dianggotai 126 institusi dari 44 buah negara di mana Persatuan Pembangunan Institusi Kewangan Malaysia (ADFIM) merupakan salah satu daripada ahlinya.

JCorp salah satu ahli ADFIM, iaitu sebuah institusi bertujuan mengetengahkan struktur pembangunan ekonomi yang kukuh di negara ini dan telah menjalankan aktiviti berasaskan pembangunan dan usaha-usaha berkaitan sejak tahun 2005.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: