Monday, April 4, 2011

Motorola Solutions sasar kekal posisi



Motorola Solutions Malaysia berhasrat mengekalkan posisinya sebagai peneraju pasaran dalam semua segmen perniagaannya dengan memberi tumpuan kepada sektor kerajaan dan syarikat perusahaan.

Presidennya, Mohd Rauf Nasir berkata, syarikatnya bersedia memberi komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pihak yang mempunyai kepentingan dalam industri di negara ini bagi menyumbang kepada kejayaan ekonomi negara.

Menurutnya, mereka membekalkan penyelesaian mudah alih generasi akan datang kepada agensi kerajaan dan keselamatan awam serta syarikat perusahaan selain menjadi peneraju pasaran dalam pelbagai segmen perniagaannya seperti pengangkutan, logistik, minyak dan gas, peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan hospitaliti.

“Motorola Solutions komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan syarikat perusahaan di Malaysia bagi menyediakan penyelesaian penting untuk misi dan perniagaan yang menyokong matlamat Malaysia untuk menjadikan negara ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Sejarah kecemerlangan kami di Malaysia memberi keupayaan untuk menggabungkan pengetahuan global dengan kemahiran dan kefahaman tempatan bagi menyediakan penyelesaian inovatif yang mantap, selamat dan bersesuaian dengan keperluan semasa tempatan,” katanya semasa sidang media Motorola Solutions di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Naib Presiden Motorola Solutions Asia Pasifik, Balbir Singh.

Mohd Rauf berkata, Motorola Solutions Malaysia juga turut menyumbang kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan tahun lalu.

Katanya, antara penglibatan Motorola Solutions dalam projek ETP adalah menyediakan penyelesaian kepada sektor pembinaan di Malaysia seperti projek transit aliran ringan (LRT).

Sementara itu, Balbir berkata, segmen keselamatan awam kerajaan menyumbang sebanyak 65 peratus kepada kewangan Motorola Solutions manakala 35 peratus lagi disumbangkan sektor perusahaan seperti peruncitan dan logistik.

Antara pelanggan perniagaan Motorola Solutions Malaysia adalah Petronas, Mydin, Tesco dan Jusco.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: