
Ketua Pegawai Pemasaran dan Operasinya, Danny Ong berkata, banyak laman sesawang di seluruh dunia mula menggunakan keupayaan Internet Explorer 9 yang dipertingkatkan bagi memberikan pengalaman yang hebat kepada penggunanya.
“Internet kini bukan setakat tempat untuk mencari maklumat seperti dahulu. Hari ini kita menggunakan Internet untuk bermacam-macam perkara. Malah, ia kini mengutamakan pengalaman yang menyeronokkan di mana individu boleh berhubung dan berkongsi idea dan minat mereka melalui video, gambar foto dan aplikasi.
“Kami amat teruja dengan pelancaran pelayar Internet Explorer 9. Pelayar terbaru ini memberikan pengguna pengalaman sesawang yang lebih hebat dengan menawarkan ciri yang digemari mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, sebagai penyediaan bagi pelancaran pelayar ini, Microsoft menjalankan tinjauan bagi mendapatkan maklumat berkenaan dengan tabiat dan kekhuatiran berkaitan melayari laman sesawang ke atas 11 negara Asia Pasifik termasuk Malaysia dan 21 negara Eropah.
Daripada 20,000 maklum balas yang terkumpul, 91 peratus pengguna memilih kelajuan sebagai ciri penting bagi pengalaman melayari sesawang mereka, melebihi kebanyakan negara lain di rantau ini.
77 peratus pengguna di Malaysia ingin mendapatkan kelajuan yang lebih tinggi menggunakan pelayar mereka terutamanya menonton tayangan gambar definisi tinggi (HD).
Selain daripada faktor kelajuan, pengguna Malaysia turut khuatir mengenai keselamatan dan hanya dua peratus yang mengaku tidak pernah risau memuat turun kandungan tidak selamat secara atas talian.
Antara aspek lain yang begitu dititikberatkan oleh pengguna Malaysia termasuk pelayar yang bersih dan kemas dengan 75 peratus memilih ciri ini sebagai aspek penting dalam pemilihan sesuatu pelayar.
Pengurus Pemasaran Produk Internet Explorer di Microsoft Asia Pasific, Jonahan Wong berkata, pelayar terbaru ini meningkatkan nilai nilai dan menghidupkan lagi laman sesawang serta maklumat yang terkandung di dalamnya.
“Oleh itu, muka pelayar terbaru ini dibersihkan agar tidak kelihatan serabut. Laman sesawang kini juga adalah seperti aplikasi komputer anda sendiri dan bukannya sesuatu yang dicapai melalui pelayar,” katanya.
Dianggarkan, lebih 250 laman sesawang terkemuka menggunakan Explorer 9, manakala rakan global dari 37 negara ini bersama mencapai lebih 1 bilion pengguna aktif.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: