![]() |
| Walaupun takut dengan Laksamana, Miera Liyana sempat memberi pose istimewa di sisi kuda berkenaan. |
PADA awalnya, bintang baru yang mencipta populariti menerusi drama bersiri Kamelia Katrina, Miera Liyana begitu teruja untuk menunggang kuda. Satu aktiviti yang cukup asing bagi anak gadis berusia 18 tahun itu.
Namun, atas dasar minat dan keinginannya untuk mencabar diri sendiri, digigihkan juga kudratnya untuk berdampingan dengan haiwan ‘sasa’ itu.
Walaupun tiba sedikit lewat dari masa yang dijadualkan kerana kesesakan lalu lintas, keterujaan Miera sedikit pun tidak luntur untuk beraksi bersama kuda yang diberi nama Laksamana itu.
Setelah tiba di lokasi yang dijanjikan, Kem Isi Rimba, Kemensah, Hulu Kelang, tanpa berlengah lagi, Miera terus mengenakan kelengkapan untuk menunggang kuda yang dipilih petugas kem tersebut.
Menurut Miera, hatinya agak berdebar-debar tatkala cuba untuk menunggang Laksamana. Dia begitu berhati-hati ketika membuka langkah untuk bertenggek di atas kuda itu.
“Saya teruja tetapi dalam masa yang sama, saya amat takut kerana ini pertama kali saya mendekati kuda.
“Baru saja saya nak angkat kaki untuk naik atas kuda tu, tiba-tiba kuda itu bergerak ke hadapan.
“Saya panik dan melompat turun dari kerusi yang dijadikan platform untuk saya berpijak. Nasib baik saya tak tersungkur,” cerita pelakon filem Apokalips itu dalam termengah-mengah.
Tidak cukup setakat itu, Miera yang tidak mahu berputus asa cuba untuk menjinakkan kuda berkenaan supaya dia berjaya mencapai hasratnya menunggang kuda.
Bagaimanapun, kuda yang sememangnya jinak itu dilihat tidak begitu selesa dengan gelagat Miera yang takut dengannya.
Seloroh Miera, mungkin Laksamana yang teruja hendak berjumpa dengannya. Sebab itulah kuda itu tidak boleh duduk diam.
“Apa pun, saya seronok dapat berdampingan dengan Laksamana. Sekalipun saya agak takut, sekurang-kurangnya saya sudah menyentuh badannya,” katanya sambil ketawa.
Walaupun mengakui sedikit kecewa kerana tidak dapat menunggang kuda berkenaan, Miera tetap gembira menempuhi pengalaman sebegitu.
Tambahnya, jika mempunyai kelapangan suatu hari nanti, dia mahu menunggang haiwan yang pada pandangannya begitu seksi.

Di mana agaknya lokasi isi rimba ni? Ada aktiviti berkuda lagi. Boleh post gambar isi rimba lagi tak dan lokasi nya sekali. Terima kasih
ReplyDelete