Saturday, April 16, 2011

Platform promosi jenama Malaysia



Bluedale Event & Consultants (M) Sdn Bhd menganjurkan Pameran Antarabangsa Koko, Kopi & Pengguna 2011 (I3CS 2011) yang akan berlangsung mulai 20 Mei sehingga 22 Mei 2011 di Pusat Konvensyen Mid Valley.

Ketua Pegawai Eksekutif Bluedale Group of Companies, Lyndon Yap berkata, pameran bertujuan mempromosikan jenama tempatan dan menyediakan informasi kepada orang ramai mengenai industri barangan pengguna laris (FMCG).

Menurutnya, I3CS 2011 adalah pameran dagangan untuk pengguna mempamerkan pelbagai kategori FMCG seperti produk siap dari komoditi koko dan kopi.

“Melalui pameran I3CS 2011, kami menyediakan platform kepada usahawan tempatan yang berkecimpung dalam komoditi ko:ko dan kopi untuk memperkenalkan jenama dan produk mereka dalam pasaran FMCG tempatan dan serantau.

“Setakat ini, kami telah menerima lebih 100 pempamer berminat membuka gerai pameran dengan sasaran perolehan sehingga RM30 juta selama pameran berlangsung,” katanya semasa taklimat mengenai pameran I3CS 2011 di Petaling Jaya.

Yap berkata, sebanyak 90 peratus daripada pempamer terdiri daripada syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat besar diikuti 10 peratus lagi syarikat antarabangsa yang mempunyai pejabat di negara ini.

“Selain mempromosikan jenama tempatan, kami juga ingin mendedahkan produk yang terdapat di negara ini kepada masyarakat luar.

“Kami ada menerima respons daripada syarikat antarabangsa seperti Syria, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Singapura, Thailand, Nigeria, Myanmar dan Indonesia untuk menyertai pameran ini,’ katanya lagi.

Beliau berkata, usaha syarikatnya menjemput rakan niaga dan peserta dari Malaysia dan luar negara adalah sebahagian usaha memperkenalkan jenama produk di pasaran tempatan dan luar negara.

Kedua-dua komoditi; koko dan coklat juga berkait rapat dengan industri bakeri dan manisan.

Menurutnya, terdapat permintaan berterusan, dengan nilai permintaan untuk biji koko meningkat kepada USD 3.5K setan pada awal tahun ini,” katanya.

“Kita adalah generasi Milo, Maggi dan Cadbury, dan kami juga ingin melihat ianya menjadi Van Houten, Ruski atau Crunchy pada suatu masa nanti,” katanya lagi.

Pameran I3CS 2011 itu turut disokong oleh agensi kerajaan termasuklah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan dijangka dapat memberi manfaat kepada sektor kerajaan dan swasta.

Pameran itu dijangka menarik kira-kira 40,000 pelanggan, termasuklah golongan famili.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: