![]() |
| GELAGAT Gambit bersama marsyal ATV, Syazwan Hardy (bertopi). |
Terutamanya, apabila seseorang pelakon ingin melepaskan lelah daripada kesibukan menjalani penggambaran filem mahupun drama.
Bagi aktor kacak yang popular menerusi drama bersiri Awan Dania, Mohd. Saifullah Rosli, 26, atau lebih dikenali sebagai Gambit Safiullah menunggang ATV boleh memberi kedamaian kepada yang meminatinya.
Apatah lagi, menunggang ATV melalui trek mencabar yang terletak jauh di pedalaman hutan menyajikan udara segar dan nyaman serta jauh daripada kesibukan kota.
"Walaupun ia adalah sesuatu yang ekstrem, saya sukakannya kerana ia menguji kemahiran saya untuk mengendalikannya.
"Sekalipun ia menuntut daya ketahanan fizikal, kepenatan itu berbaloi kerana melakukan sesuatu yang santai di luar rangkuman kerja," katanya ketika ditemui di Kem Isi Rimba, Kemensah, Hulu Kelang baru-baru ini.
Menurut Gambit, walaupun kali pertama menunggang ATV, ternyata ia menyeronokkan kerana tidak sukar untuk mengendalikannya.
Katanya, ia begitu santai dan mengujakan. Sama seperti menunggang motosikal.
"Bezanya, motosikal beroda dua dan ditunggang di jalan raya. ATV pula mirip motosikal tetapi beroda empat dan direka khas untuk aktiviti lasak di dalam hutan," ujar pelakon yang bakal muncul dengan filem terbarunya, Karipap Karipap Cinta tidak lama lagi.
Bagaimanapun, ketika sedang menunggang ATV keadaan trek yang lembap kerana hujan menghalang jurufoto S3 untuk merakamkan aksi menarik Gambit menunggang ATV atas faktor keselamatan.
Mujur, peminat masih boleh menatap kegilaan Gambit bersama kawannya, Wawan menunggang ATV yang dirakamkan di trek pasir yang terdapat di situ.
Akui Gambit, sukan bermotor seperti ATV cukup menyeronokkan. Namun, dia sedikit kecewa kerana tidak merasai keseronokan maksimum menunggang ATV kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
"Lain kali, sekiranya ada kelapangan, saya akan menunggang ATV di trek yang lebih mencabar," tambahnya.
Di samping itu, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini juga gemar menunggang kuda dan memiliki seekor kuda yang disimpan di sebuah bangsal kuda di Lembah Klang.
"Kalau ada masa, saya akan menunggang kuda dan ia sebagai satu kaedah senaman yang menyihatkan badan," katanya yang mula menceburi sukan berkuda sejak empat tahun lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: