Sunday, April 17, 2011

Ledakan 'Grenade' Bruno Mars di PWTC


Sekadar memuji, Mars sehingga lagu kelapan, belum ‘pancit’. Vokalnya kekal mantap.


PERTEMBUNGAN rasa bersalah antara menyertai konsert Bruno Mars atau penyanyi terkenal Korea Selatan, Rain di Sepang mungkin menyebabkan banyak peminat sukar membuat keputusan.

Iyalah, kedua-duanya berlangsung pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, bagi mereka yang fanatik dengan Bruno Mars, 10 April 2011 adalah tarikh yang tidak wajar dilepaskan.

Apatah lagi untuk menerima kunjungan penyanyi kelahiran Honolulu, Hawaii ini ke Malaysia bukanlah satu peluang yang sentiasa ada.

Meski pada awalnya ada yang kurang berpuas hati dan mempertikaikan mengapa konsert diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, namun sehingga selesai konsert, tiada rungutan yang keluar daripada mulut penonton.

Masing-masing pulang dengan perasaan gembira setelah dihidangkan dengan persembahan yang bertenaga daripada penyanyi berusia 26 tahun.

Diadakan di Dewan Merdeka, konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan daripada penyanyi tempatan yang juga pemenang Anugerah Flava Shout Award 2010, Mizz Nina.

Selain lagu Let Me C U Get It, Mizz Nina juga tidak lupa untuk menarik perhatian penonton menerusi lagu hits What You Waiting For, kolaborasinya dengan penyanyi antarabangsa, Colby O‘Donis.

Penantian penonton selama hampir setengah jam yang terganggu gara-gara sesi sound-check yang tiba-tiba di pentas sedikit‘terubat’ apabila Mars kemudiannya muncul mengambil alih pentas bersama pemuzik-pemuzik pengiringnya tepat pada pukul 9 malam.

Membawakan seleksi lagu hits daripada album berjudul Doo-Wops & Hooligans, Mars memecah keterujaan peminat menerusi dendangan lagu pertama Space Odyssey.

Tidak membiarkan persembahan nampak ‘kosong’, Mars turut mempamerkan bakatnya bermain deram dan gitar menerusi lagu ini.

Kehangatan terus membara apabila peminat Mars turut bersama-sama menyanyikan lagu The Other Side dan Top of the World.

Penyanyi versatil ini juga turut menampilkan kreativitinya menerusi garapan medley lagu Money dan Billionaire yang kemudiannya menerima jeritan kuat daripada peminat yang menyokong.

Peminat kumpulan The Saturday dan Alicia Keys ini juga terus-menerus menghangatkan malam menerusi dendangan lagu Our First Time.

Menyifatkannya sebagai sebuah lagu penuh mood sensual, Mars ternyata berjaya mengundang jeritan peminat terutama kaum wanita.

Persembahan Mars kemudiannya diteruskan lagi menerusi dendangan lagu Mash Up, Marry You dan Lazy Song tanpa gagal diikuti oleh semua peminat yang berada di dalam dewan.

Sekadar memuji, Mars sehingga lagu kelapan, belum ‘pancit’. Vokalnya kekal mantap.

Malah, energi yang ada padanya disalurkan pula menerusi lagu yang memercikkan elemen persahabatan berjudul Count On Me.

Suasana seperti di Hawaii bagaikan terasa apabila petikan Ukulele dimainkan sepanjang lagu itu dipersembahkan.

Konsert turut dimuatkan dengan pengisian persembahan lagu Liquor Store, Nothing On You serta lagu yang paling ditunggu-tunggu, Grenade yang sentiasa mengujakan penonton.

Sebagai penutup tirai, Mars sempat ‘mengusik’ penonton dengan menyatakan lagu Just The Way You Are adalah lagunya yang terakhir untuk malam itu sebelum pentas itu dikosongkan.

Gimik Mars memancing penonton untuk tidak berganjak dari dewan nampaknya ‘mengena’ kali ini.

Muncul semula di atas pentas selepas namanya dipanggil berulang-ulang kali oleh peminat, Mars memberi buah tangan terakhirnya menerusi persembahan lagu berjudul Runaway Baby.

Sempat berjanji untuk kembali menjejakkan kaki sekali lagi ke Malaysia dalam masa terdekat, Pemenang anugerah Persembahan Vokal Pop Lelaki Terbaik di Anugerah Grammy ke-53 ini juga cuba mencuri hati penonton menerusi ucapan Aku Cinta Padamu.

Ternyata, banyak hati yang ‘mencair’ dengan kata-kata manisnya itu.Nyata, kunjungan pertama Mars menerusi konsert ini benar-benar tidak mengecewakan meski cuma dihadiri seramai 3,000 penonton.

Apa pun, kunjungan Mars, Philip Lawrence (vokalis pengiring), Eric Hernandez (pemain deram), Kenji Chan (gitar utama), Jared Artis (pemain bass) serta Frederick (keyboard) pastinya dinantikan lagi di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: