Sunday, April 17, 2011

Pesta Lawak imbau nostalgia Pi Mai Pi Mai


TIGA orang kuat pi mai pi mai tang tu, Zami Ismail, Khatijah Tan dan Imuda turut membantu pementasan Pesta Lawak.


WATAK-watak seperti Pak Uda, Mak Ngah, Ana, Lucy, Budin, Mat Deris, Mat Over dan Ravi begitu popular pada zaman kegemilangan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Mengisahkan mengenai ragam seharian penduduk di flat Seri Wangi, sitkom ini lahir daripada buah fikiran pengarah Dr. Hatta Azad Khan.

Ia mula menemui penonton di kaca televisyen sekitar tahun 1987 sebelum kemudiannya berkubur selepas kemunculan program-program baru yang berlumba-lumba mencuri perhatian penonton ketika itu.

Impak sitkom yang sering ditayangkan di TV3 ini ketika itu cukup hebat sehinggakan ia turut direalisasikan dalam bentuk pementasan teater muzikal sekitar tahun 2006.

Tahu bahawa masih ada yang ‘ketagih’ dengan jenaka ala Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Persatuan Karyawan akan membawa semula memori lama bersama watak-watak ini melalui penganjuran sebuah siri baru berjudul Pesta Lawak.

Pesta Lawak yang turut mendapat kerjasama Kumpulan Syarikat Seri Melayu ini bakal dipentaskan pada 5 Jun 2011 di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay,bermula pukul 8 malam.

Bakal menampilkan barisan pelakon asal seperti Zami Ismail, Khatijah Tan, Sulaiman Yassin, Sathiya dan Angeline Tan, sitkom kali ini akan diarahkan oleh Imuda.

Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Pi Mai Pi Mai Tang Tu sengaja dipilih sebagai pembuka Pesta Lawak pada hari tersebut memandangkan ia pernah menjadi antara program paling diminati dengan rating tertinggi sekitar tahun 80-an.

“Bagi mereka yang membesar dengan sitkom ini, mereka pasti akan tahu bagaimana penangan Pi Mai Pi Mai Tang Tu di zaman popularitinya.

“Jenakanya bersahaja namun mempunyai mesej tersembunyi yang biasanya banyak berkisar mengenai isu kemasyarakatan dan sosial.

“Boleh dikatakan ini juga seperti reunion geng-geng lama Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang tidak pernah gagal mencuit hati setiap penonton melalui aksi dan jenaka mereka,” katanya.

Tambah Freddie, meskipun pementasan kali ini diarahkan oleh Imuda, namun ia turut dipantau Othman Hafsham yang bertindak sebagai penasihat program.

Bahkan, kata Freddie, Pesta Lawak juga berkemungkinan dimasukkan sebagai antara senarai program yang akan diadakan sempena sambutan Hari Seniman yang akan berlangsung bermula 29 Mei hingga akhir Jun ini.

Dalam pada itu, menurut Freddie, siri Pesta Lawak ini juga akan disusuli dengan pelbagai sitkom menarik yang tentunya mencuit hati.

Bagi mereka yang berminat untuk menonton sitkom ini di lokasi yang disebut, apa yang perlu anda lakukan adalah membuat tempahan meja.

Dikhaskan seramai 10 orang untuk satu meja, penonton yang berminat boleh membelinya pada harga tawaran bermula dari RM1,000hingga RM5,000.

Sebahagian jualan amal ini akan disalurkan kepada Tabung Kebajikan dan Operasi Persatuan Karyawan Malaysia.

Bagi mereka yang berminat atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung program, hubungi Karyawan di talian 03-79552967 atau 014-7176276 (Ahmad).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: