Sunday, April 17, 2011

Orang Sarawak memang hebat!


Ramli Sarip


TIDAK ada perkataan, melainkan- Orang Sarawak memang hebat. Walau dalam hujan yang cukup lebat mencurah, kesetiaan orang di sekitar Semariang, Sarawak menyaksikan konsert belia hujung minggu cukup mengkagumkan.

Konsert yang diadakan sempena dengan Program Karnival Mesra Belia Sarawak 2011 bertempat di Bandar Baru Semariang, Santubong mendapat sambutan hangat lebih 10,000 orang peminat.

Mereka yang sudah berkampung bermula sejak 8 hingga 10 April yang lalu di situ telah melakukan pelbagai aktiviti yang diatur oleh Kementerian Belia dan Sukan selaku penganjur utama.

Program yang sudah dilaksanakan selama tiga bulan itu sudahpun menjelajah hampir kesemua daerah kecil di Sarawak dengan siri jelajah hampir saban minggu tanpa henti yang bertujuan mendekatkan golongan belia bagi sama-sama menjayakan aspirasi negara.

Pancaindera yang berkesempatan mengunjungi siri terakhir jelajah ini pada minggu lalu cukup bertuah apabila dapat berhibur bersama-sama peminat di Semariang yang cukup ramai.

Sudah pasti tumpuan pada malam itu lebih terarah kepada barisan nama-nama besar artis popular tanah air yang cukup seronok menghiburkan peminat di situ.

Antara artis yang membuat persembahan pada malam itu termasuklah Ramli Sarip, Farah Ashikin, Zizi, Ucop Baji, Datuk Malik Ridzuan dan beberapa artis tempatan yang cukup hebat.

Acara yang dikemudi oleh Isma Halil Hamzah itu turut membawa turun legenda gitaris rock negara, Man Kidal yang sama-sama menunjukkan kehebatan bermain gitar.

Biarpun hujan turun mencurah tidak sampai separuh perjalanan konsert, ia langsung tidak memberikan impak kepada penduduk sekitar Pantai Damai untuk terus berada di depan pentas sehingga ke akhir acara.

Bertemu dengan penyanyi Hattan yang juga merupakan penasihat kepada program tersebut, dia melahirkan rasa gembira apabila matlamat asal program itu terlaksana seperti mana yang dirangka.

“Kita sudah menjelajah hampir keseluruhan negeri ini. Hampir 40 orang artis sudah kita bawa untuk turun padang bukan sahaja mendekati golongan belia tetapi masyarakat di Sarawak khususnya.

“Program yang sudah bermula pada 7 Januari berkonsepkan mesra rakyat. Kita sanggup turun ke kawasan pedalaman dan ada ketikanya barisan artis melalui perjalanan yang lama untuk ke sana.

“Ini merupakan satu pengalaman yang baru buat mereka. Tumpuan bukan hanya tertumpu di bandar-bandar besar tetapi juga kita membawa kegembiraan pada mereka yang tinggal jauh dari bandar besar.

“Saya cukup teruja dengan komitmen yang ditunjukkan oleh artis kita yang cukup gembira turun padang sebegini. Setidak-tidaknya ia sedikit sebanyak dapat membawa memori ketika membuat persembahan di fun fair pada tahun 1990-an dulu,” ujar Hattan.

Pada setiap malam minggu hampir tujuh lokasi konsert diadakan secara serentak di Sarawak dan ini menyaksikan sasaran untuk mencari 350,000 belia yang ada dicapai.

Selain acara konsert yang diadakan pada malam minggu, pelbagai aktiviti lain yang turut dirangka termasuklah pertandingan futsal, klinik vokal, klinik gitar dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: