![]() |
| Wajah kepuasan dan kegembiraan pendaki di puncak Gunung Ulu Sepat. |
SETELAH melakukan perancangan teliti selama tiga minggu, Kelab rekreasi Kolej Tun Hussien Onn Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akhirnya berjaya menganjurkan ekspedisi Chamah-Ulu Sepat-Gerah-Bieh-Bilah Full Circle 2011 (CUSGBB Full Circle 2011) baru-baru ini.
Ekspedisi menawan lima gunung selama 10 hari itu dianjurkan dengan kerjasama Merbauan Adventure & Recreation Club (MARC), Kelab Rekreasi dan Sukan Ekstrim (KEREX) dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM).
Ekspedisi tersebut melibatkan pendakian menawan lima puncak gunung di sempadan Kelantan dan Perak iaitu Gunung Chamah, Gunung Ulu Sepat, Gunung Gerah, Gunung Bieh serta Gunung Bilah.
Para peserta bermula dari UTM dengan bas ke Stesen keretapi Gemas untuk ke Gua Musang sebelum menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) menuju ke lokasi pendakian.
Perjalanan selama 12 jam pada hari pertama termasuk enam jam di atas kenderaan 4WD itu berhenti di Kem Tengah setelah melalui Kem Pakma.
Dari situ seawal pukul 8.30 pagi peserta memulakan perjalanan menuju ke puncak Gunung Chamah yang mengambil masa enam jam.
Selepas berjaya menawan puncak yang kelima tertinggi di semenanjung Malaysia para peserta kembali ke Kem Tengah untuk bermalam.
Keesokannya, mereka bergerak kemerentasi Sungai Rekom untuk bermalam di Kem Maggi yang mengambil masa 10 jam.
Bagaimanapun hasrat untuk ke puncak Gunung Ulu Sepat pada hari keempat terpaksa ditangguhkan apabila seorang peserta cedera semasa menuruni curam ke Kem Sungai Lepir.
Pada hari kelima baru mereka bergerak ke puncak Gunung Ulu Sepat yang mengambil masa tiga jam sambil berhenti untuk makan tengah hari di Kem Junction.
Kemudian mereka kembali ke Kem Junction untuk menuju ke Kem Sungai Lenweng dalam perjalanan malam yang perlahan mengambil masa hampir lima jam.
Pendakian menuju ke puncak Gunung Gerah diteruskan pada hari keenam. Setelah berhenti rehat di puncak Bukit Penat.
Perjalanan hari ketujuh melalui trek yang yang panjang dan mempunyai kecerunan yang tinggi menuju ke puncak Gunung Gerah. Setelah melalu kem Perodua, para peserta berhenti rehat di Kem Sarsi.
Dari situ mereka menuju ke puncak Gunung Gerah dan bermalam disitu dalam keadaan suhu yang sejuk dan berangin.
Keindahan pagi di puncak Gunung Gerah membuatkan para pendaki lebih bersemangat dan ceria. Di puncak ini mereka berpeluang menyaksikan keindahan matahari terbit dengan suhu 11 darjah celsius telah direkod pada awal pagi.
Ekspedisi diteruskan ke puncak Gunung Bieh seawal pukul 7.30 pagi dan tiba setelah melalu trek yang sedikit mudah.
Pendakian kemudian diteruskan menuju ke Gunung Bilah dan tiba setelah satu jam perjalanan.
Perjalanan malam yang mencabar selama tiga jam membuatkan penunjuk arah membuat keputusan untuk bermalam di sebuah kawasan baru yang diberi nama Kem Merbau.
Peserta kelihatan bersemangat pada hari kesembilan dengan sasaran untuk terus tiba di Kampung Dakoh.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: