Saturday, April 23, 2011

Jehan suka sukan lasak


SUDAH dua tahun Jehan meninggalkan aktiviti rock climbing.


MENDENGAR Jehan Miskin bercerita fasal 5A, 5B, 5C hingga ke 9A, 9B dan 9C, penulis ternganga. Ingatkan dia bercerita tentang jenis lesen kontraktor yang diambil.

Rupa-rupanya apa yang diperkatakan Jehan dengan Timbalan Pengerusi Belia 4B cawangan Kampung Wira Damai, Mohd. Abdul Halim Zainal Abidin adalah laluan yang digunakan untuk aktiviti lasak, rock climbing.

Pertemuan kami di kawasan rekreasi Gua Damai berhampiran Batu Caves, Gombak, pukul 9 pagi, Sabtu lalu adalah untuk memberi peluang Jehan melepaskan rindunya pada aktiviti lasak itu.

“Saya mula buat rock climbing ini sejak tahun 2000 lagi. Mula-mula dulu buat indoor rock climbing. Saya boleh habiskan masa seharian kat tempat sebegitu di The Summit Climbing Gym, USJ atau Camp 5 Climbing Gym, One Utama.

“Harap hari ini dapat buat lagi, sebab sudah dua tahun juga tidak buat kerja panjat-memanjat ni kerana tidak ada masa, sibuk memanjang,” ceritanya.

Bagaimanapun hasrat pemegang watak Benjy dalam drama Awan Dania itu hampir gagal untuk melakukan rock climbing di bahagian dinding bukit Gua Damai kerana hujan lebat.

Memandangkan Mohd. Abdul Halim pemegang kunci ke Gua Damai, dapatlah Jehan melakukan rock climbing di bahagian hadapan gua yang sekali gus memudahkan jurufoto, Rashid Mahfof merakamkan gambar pelakon berkenaan dari pelbagai sudut yang menarik.

Sebelum memulakan pendakian, Jehan yang berpakaian seluar trek dan kemeja T tanpa lengan, menukar seliparnya kepada kasut khas untuk memanjat.

“Saya hanya ada peralatan lengkap untuk indoor rock climbing saja. Kasut ala ballet ini dibuat khusus untuk memanjat kerana ketika memanjat kita hanya menggunakan hujung jari kaki.

“Setiap pemanjat mesti ada beg kapur magnesium (chalk bag) yang diikat di pinggang bahagian belakang. Kapur ini untuk meneutral peluh yang keluar pada tangan dan kelembaban pada batu atau permukaan tebing,” jelasnya.

Katanya, lain-lain peralatan asas yang perlu adalah Belay Device, alat keselamatan seorang pemanjat yang dikawal oleh belayer dan harness yang digunakan sebagai alat keselamatan untuk pemanjat dan belayer serta tali.

Setelah lengkap 'berpakaian', Jehan dibantu oleh Khairil Amar Yusof atau Yen yang bertindak sebagai belayer dan Abdullah Zul Yuzarin Yeop Mahidin.

Melihat Jehan memanjat tebing Gua Damai, penulis pula yang risau kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.

Alhamdulillah, tugasan kami berjalan lancar kerana dibantu oleh tiga jurulatih rock climbing profesional.

Demi mendapatkan sudut yang menarik, Rashid pun terpaksa memanjat (laluan biasa) ke tebing yang lebih tinggi daripada Jehan.

Menurut Jehan, aktiviti sukan lasak bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tapi juga minda.

“Buat rock climbing ini kena fokus betul-betul. Sukan ini akan membawa kita berada di dunia lain. Mana tidaknya, waktu memanjat itu mana boleh fikir benda lain.

“Kita hanya boleh fikir bagaimana cara aku nak sampai ke atas, bahagian tebing mana yang nak dipegang. Kalau tidak memberi tumpuan, silap hari bulan, diri sendiri yang cedera. Memang nampak berbahaya tapi sukan ini membuatkan kita sentiasa bersedia,” katanya yang pernah terkehel di bahagian bahu kerana aktiviti lasak.

Selain Gua Damai, Jehan juga pernah membuat rock climbing di Pulau Tioman dan Lost World Of Tambun, Ipoh yang laluannya lebih sukar.

Kata Jehan, beliau bukan sahaja gemar rock climbing, malah pernah melakukan bungy jump juga.

Aktiviti lasak lain yang pernah dilakukannya adalah abseiling, flying fox, berenang bersama jerung, water rafting, mendaki Gunung Kinabalu, kick boxing dan muay thai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: