|
|
GELOMBANG Korea atau ‘Korean Wave’ yang melanda Asia malah sehingga ke Amerika dan Eropah mendorong industri hiburan negara itu membuka pintu untuk menerima dan mengiktiraf bakat luar.
Terdapat warga asing yang bukan sekadar mempertaruh nasib bahkan berjaya menempa nama sehingga ke tahap bintang di Korea.
Mungkin ramai yang sudah tahu, antara yang cukup popular ialah jejaka kacak yang menganggotai 2PM, Nichkhun Horvejkul.
‘Putera Siam’ ini berjaya menambat hati peminat Korea dan pada masa sama, membantu meningkatkan populariti 2PM di Thailand.
Kenyitan matanya sahaja dikatakan sudah cukup untuk menaikkan rating program hiburan yang disertainya.
Bakat asing lain yang juga menempa nama di negara itu antaranya dua anggota Miss A, Wong Fei Fei dan Meng Jia; anggota kumpulan gadis remaja f(x), Victoria Song dan Amber Liu; bekas anggota U-Kiss, Alexander Lee Eusebio dan bekas anggota Super Junior, Hankyung @ Hangeng.
Fei, Jia, Victoria dan Hankyung berasal dari China, Amber berketurunan Taiwan-Amerika manakala Alexander dilahirkan di Hong Kong tetapi membesar di Macau.
Fasih dalam bahasa asing lain sepatutnya memberi bonus kepada mereka untuk menjadi jurucakap ketika program promosi di luar negara. Namun realitinya tidak semudah itu!
Alexander yang boleh bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Sepanyol, Portugis, Jepun, Mandarin, Kantonis, Korea dan Inggeris, misalnya disingkirkan daripada U-Kiss baru-baru ini untuk digantikan dengan bakat baru yang lebih menyerlah.
Hankyung yang merupakan bakat asing pertama diterima menembusi tembok industri hiburan Korea juga akhirnya terpaksa ‘mengaku kalah’ meninggalkan negara itu kerana masalah dengan syarikat rakamannya.
Setakat ini, Nichkhun satu-satunya bakat asing yang dilihat kukuh kedudukannya dalam industri hiburan Korea. Sukar meneka selama mana yang lain mampu bertahan!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: