|
|
SEWAKTU sesi fotografi yang berlangsung di Kelab Golf dan Resort Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini, penulis memang tidak kering gusi melihat keletah dua beradik ini.
Baik Hafiz Mohd. Hatim, 29, mahupun adiknya, Hani Farhana atau lebih popular dengan nama komersial, Hunny Madu, pasti ada sahaja perkara yang hendak dikatakan tentang diri masing-masing.
Lebih-lebih lagi sewaktu penulis meminta Hafiz dan Hunny Madu mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang disifatkan mereka sebagai zaman yang penuh warna-warni.
“Kalau hendak tahu, abang saya memang seorang yang suka mengusik sehinggakan setiap kali pergi bercuti bersama keluarga, pasti akan ada insiden bertikam lidah. Maklumlah, masing-masing tidak mahu kalah.
“Tahap kenakalan abang saya ini memang kronik. Mana tidaknya, setiap kali kalau hendak bergambar, dia pasti akan mengusik saya sampaikan saya membuat mimik muka lalu gambar saya tidak cantik dibuatnya,” cerita Hunny Madu sambil dinafikan Hafiz dalam derai tawa yang panjang.
Mungkin ada yang tidak tahu, Hafiz dan Hunny Madu mencipta sejarah tersendiri sebagai pasangan adik-beradik yang menjadi penyampai radio di bawah satu bumbung iaitu Fly FM.
Hafiz terlebih dahulu berkhidmat di stesen berbahasa Inggeris itu pada tahun 2006 manakala Hunny menjejaki langkahnya dua tahun selepas itu.
Menyambung bicara, Hunny Madu memberitahu, abang kesayangannya itu memang seorang yang tidak begitu gemarkan aktiviti lasak dan bersukan.
“Dia akan beri pelbagai alasan apabila saya mengajaknya menyertai sebarang aktiviti tetapi akhirnya, dia senyap begitu sahaja,” ceritanya sambil menjuih bibir ke arah Hafiz.
Selepas membiarkan adik keduanya itu berceloteh, Hafiz pula membuka bicara dan mengakui keterbatasan waktu menyebabkan dia terpaksa melupakan aktiviti sukan yang menjadi kegilaannya satu ketika dulu.
“Pantang ada masa terluang, saya akan bermain futsal bersama rakan-rakan. Sekarang ini, saya tetap bersukan tetapi senaman tangan dan permainan video Wii sahaja,” kata Hafiz yang mengendalikan segmen Fly 30 lima hari seminggu dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
Kata-kata Hafiz itu disokong Hunny Madu yang juga mengakui masa kini begitu terhad untuk beriadah bersama abang dan adik-beradiknya yang lain.
“Kalau dulu, kami suka bermain hoki, boling, hoki ais serta beberapa permainan kanak-kanak yang pernah menjadi kegilaan satu ketika dulu.
“Kalau ada masa yang terluang, saya dan Hafiz melakukan aktiviti seperti paintball dan berbasikal bersama-sama,” ujar Hunny Madu yang juga merupakan isteri kepada Khairul Azhar Abd. Wahid itu lagi.
Dalam perkembangan lain, Hunny Madu memberitahu dia akan melancarkan album perdananya, Pulau Janji tidak lama lagi.
Untuk mendengar celoteh Hunny Madu, ikuti segmen Malaysia’s Hottest Music With Hunny Madu, 10 pagi hingga 1 petang setiap Isnin hingga Jumaat.
Dia juga mengendalikan Fly FM Campur Chat yang ke udara setiap hari Ahad selama satu jam dari pukul 7 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: