Monday, April 4, 2011

Inspirasi rumah fesyen Paris




PENAMPILAN Khairunnisa Mazbar, 26, tampak lebih sederhana walaupun dihiasi skaf yang dililit dileher, berbanding rekaan jubah daripada kain kaftan bermanik yang digantung kemas di dinding butik miliknya.

Justeru, sekilas pandang pasti ramai yang tidak menyangka pereka fesyen muda itu pernah mengembara sehingga ke kota Paris, Perancis seorang diri demi mendalami bidang fesyen di rumah-rumah fesyen di sana.

Menurut Khairunnisa yang mesra disapa sebagai Nisa, ada sebab dia memilih Paris American Academy di Paris sebagai destinasi menimba ilmu selepas terlebih dahulu belajar di International Academy of Fashion and Design (IFTC) di Malaysia.

“Saya memilih kedua-dua kolej ini kerana di situlah pereka Bernard Chandran pernah melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen. Dia adalah salah seorang idola saya dan saya mahu berjaya dengan mengikut laluan yang pernah diterokainya,” katanya pada pertemuan bersama penulis di butik Nisa Mazbar di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Nisa memberitahu, kepulangannya ke Malaysia juga adalah disebabkan permintaan kedua-dua orang tuanya. Dia akur walaupun menyedari industri fesyen di Malaysia adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan Paris.

“Di Paris saya berpeluang menjalani latihan praktikal di beberapa rumah fesyen yang besar. Antara yang paling lama adalah dengan pereka fesyen, Elie Saab iaitu selama empat musim.

“Di sini pula saya berpeluang mengunjungi Malaysian International Fashion Alliance (MIFA). Walaupun industri fesyen di sini kecil tetapi, hubungan sesama pereka fesyen lebih akrab berbanding di Paris kerana kebanyakan pereka di sana lebih bersikap individu.

“Walaupun bekerja dalam tekanan dan perlu menghasilkan rekaan yang banyak, saya berbangga pernah menimba ilmu dengan Elie Saab kerana hanya pelatih yang terpilih sahaja mendapat peluang sebegitu,” katanya yang biasa menghadiri minggu-minggu fesyen di Paris.

Bagaimanapun, selepas kembali ke tanah air tahun lalu, Nisa tidak tergesa-gesa mewujudkan sebuah butik sebaliknya terlebih dahulu mencurahkan ilmu yang dimilikinya sepanjang berada di Paris dengan menjadi pensyarah di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya.

“Hanya tiga bulan sahaja. Saya meletakkan jawatan kerana mengajar bukan minat saya. Selepas itu saya membuat keputusan mewujudkan butik Nisa Mazbar yang saya uruskan seorang diri kini,” katanya.

Gemarkan perincian




Mengaku mengagumi rekaan busana jubah rekaan Elie Saab yang sering dipakai oleh golongan bangsawan dan keluarga diraja negara Arab, Nisa mahu rekaan jubahnya tampil lebih ringkas serta sesuai dipakai oleh golongan wanita yang mahu tampil sederhana tetapi elegan.

“Jika rekaan Elie Saab lebih berat dengan batu-batuannya, saya tampil lebih ringkas kerana sasaran saya adalah golongan wanita berusia 20-an sehingga 40-an.

“Untuk jubah juga, saya menggunakan fabrik kaftan yang dipadankan dengan batuan serta kristal Swarovski daripada pelbagai warna dan saiz. Saya melakukan pemasangan batuan sendiri yang memakan masa kira-kira seminggu untuk satu rekaan siap,” katanya.

Selain fabrik kaftan, net dan sifon turut menjadi pilihan Nisa. Bagi rekaan gaun pengantin, Nisa banyak menggunakan fabrik net serta diinspirasikan oleh rekaan gaun pengantin oleh Vera Wang.

“Untuk skirt saya suka membuat perubahan pada tekstur fabrik sebagai perincian manakala, blaus banyak dihasilkan menggunakan fabrik sifon.

“Sekiranya jubah rekaan saya tampil elegan, pilihan skirt dan blaus adalah lebih funky dan menepati cita rasa wanita muda atau yang berkerjaya,” katanya.

Dalam pada itu tambah Nisa, pembabitannya dalam rekaan fesyen dan kini perniagaan fesyen turut diinspirasikan oleh pereka fesyen Zara. Dia mahu mewujudkan francais pakaian siap pakai untuk digayakan pada masa hadapan.

“Saya mahu lakukan sesuatu sebagaimana yang Zara lakukan. Bagi saya rekaan fesyen adalah perniagaan. Setiap rekaan pasti ada penggemar atau orang yang tidak menggemarinya.

“Tetapi, saya tampil dengan cara saya sendiri serta rekaan yang mempunyai sentuhan idea saya,” katanya.

Kehidupan peribadi




Bakal mendirikan rumah tangga penghujung tahun ini, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu menghabiskan kebanyakan masanya menguruskan butik seorang diri dan mengunjungi bengkel-bengkel jahitannya untuk melihat busana klien yang disiapkan.

“Saya akan menyiapkan pemasangan perincian di butik sebelum mengunjungi bengkel pada waktu makan tengah hari. Selepas itu saya akan kembali ke butik atau menyertai acara-acara fesyen sekiranya mendapat jemputan.

“Secara peribadi, saya seorang yang sukakan privasi dan kurang bersosial. Sekiranya kebosanan saya akan main permainan video PS3 seorang diri di butik. Saya seorang yang suka menyendiri,” katanya.

Selain itu, disebabkan kesibukan memajukan butik Nisa Mazbar, dia kini tidak dapat lagi melakukan hobinya iaitu menonton wayang pada masa lapang.

“Masa saya banyak di butik menguruskan perniagaan yang saya jalankan sejak September tahun lalu. Saya bertuah kerana kawan-kawan rapat di sini banyak membantu dari segi pemasaran kerana saya masih baru di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: