Monday, April 4, 2011

Seni buatan tangan comel




ZAKKA dalam istilah Jepun bermaksud pelbagai barangan. Sungguhpun begitu terdapat pelbagai lagi konotasi menarik yang digunakan yang merujuk kepada pelbagai barangan serta hiasan yang dibuat hasil kerja tangan dengan kreativiti pereka itu sendiri.

Lebih tepat lagi, zakka sebenarnya merupakan seni melihat sesuatu barangan yang biasa digunakan iaitu barangan asas yang mudah didapati seperti kain perca, butang, kayu yang kemudiannya dijahit, kait atau dilekat mengikut kreativiti serta tidak memerlukan kos yang tinggi.

Zakka mula menjadi fenomena baru di seluruh dunia seiring dengan bangkitnya pengaruh budaya pop yang mahukan sesuatu yang comel, unik serta lain dari yang lain. Di Jepun juga, zakka bermakna pelbagai item yang mempunyai banyak fungsi, menarik serta unik.

Di negara Matahari Terbit itu, kedai menjual barangan yang dibuat menggunakan seni tangan yang comel bukanlah sesuatu yang asing di sana. Malah, bagi yang pernah melancong ke Taiwan, Hong Kong dan Eropah sudah tentu dapat berkongsi bahawa fenomena zakka sudah popular di sana sejak dahulu lagi.

Bagi penggemar seni kraf hasil buatan tangan, zakka diangkat umpama satu jenama popular.

Humpty Dumpty, Gelato Pique, Edit.for.Lulu, Deuxieme Classe dan La Belle Epoque merupakan antara patung imaginasi yang dicipta oleh mereka yang menjadikan hasil kreativiti tangan itu sebagai kepuasan dalam hidup.

Walaupun konsep zakka masih lagi baru di Malaysia, kewujudan sebuah kedai Daiso iaitu kedai yang menjual barangan kelengkapan rumah yang diinspirasi zakka pada 2008 di ibu negara memeriahkan fenomena itu.

Pipit Zakka idea suami isteri

Kini, muncul pula sebuah kedai zakka di Petaling Jaya, dengan menggunakan sepenuhnya konsep itu. Pipit Zakka Store yang terletak di kawasan rumah dua tingkat di SS2 menyajikan pelbagai barangan hasil rekaan tangan yang dipasarkan oleh pereka tempatan dan juga luar negara.

Dimiliki oleh Mike Ooi dan isterinya Ivery Khooi, kedai tersebut dibuka selepas mendapat permintaan pelanggan setia mereka yang sebelum ini hanya dapat membeli barangan tersebut yang dijual mereka melalui laman sesawang Pipit.

“Sebenarnya kami membuka kedai, selepas merancangnya hampir empat tahun.


HIASAN berbentuk epal ini dikatakan boleh memberi nasib baik kepada mereka yang memilikinya.


“Selain sokongan daripada peminat barangan zakka dari laman sosial, kami juga mendapat sokongan daripada rakan kami yang menawarkan tempat ini untuk disewakan pada harga yang berpatutan,” kata Mike yang menyifatkan kedai kecil mereka diinspirasikan daripada lambakan kedai zakka yang dikunjungi ketika melancong ke Tokyo, Jepun.

Disebabkan dia dan isteri juga berminat dengan kelengkapan serta perhiasan seperti anting-anting, patung hiasan, mereka ternyata berpuas hati dengan pembukaan kedai kecil mereka itu.

“Disebabkan kedai kami kecil dan hanya dikendali oleh kami berdua sahaja, kami sepakat menamakannya sebagai Pipit iaitu nama seekor burung kecil,” terangnya yang masing-masing berusia 31 tahun.

Menurut Ivery yang turut mereka cipta beberapa perhiasan buatan tangan, keunikan kedai berkonsepkan zakka di Jepun, menyuntik idea untuk mewujudkan kedai tersebut, malah konsep kedai tersebut juga dilengkapi dengan barangan buatan tangan serta kitar semula.

“Terdapat ramai individu yang menggemari barangan hasil tangan unik dan comel tetapi, tidak tahu tempat yang sesuai untuk menjual hasil kreativiti mereka. Kini di Pipit Zakka Store, pelanggan boleh berkunjung bila-bila masa sahaja.

“Malah, bagi mereka yang banyak menghasilkan barangan hasil kreativiti tangan juga boleh mempamerkan barangan mereka untuk jualan,” terangnya yang tanpa segan mengakui meja yang sedang digunakan untuk sesi temu bual itu merupakan sebuah meja terpakai.

Walaupun kedai tersebut kecil, tetapi atmosferanya sudah tentu menjadikan pengunjung rambang mata dengan lebih 20 barangan hasil kerja tangan tempatan dan luar negara.

Antara yang menarik seperti beg sandang, perhiasan diri, barang mainan serta t-shirt yang dijual pada harga berpatutan iaitu serendah RM3 hingga RM200.

“Semua produk ini adalah 100 peratus asli malah, sangat eksklusif kerana dihasilkan hanya satu keluaran sahaja memandangkan ia dibuat dengan tangan. Ini bermakna kita tidak akan terserempak orang yang menggunakan produk yang sama dan serupa,” jelasnya sambil memberitahu barang-barang dijual mereka ada yang dibawa dari Perak, Pulau Pinang malah, dari Hong Kong dan Taiwan.


WAJAH patung amigurumi comel yang sedang diusahakan oleh Rosmalia.


Kerja tangan lama kembali popular

Hakikatnya, seni buatan tangan yang menggunakan kreativiti seperti menjahit, mengait, menampal dan menggunakan barang terpakai seperti zakka sebenarnya sudah mula popular sejak zaman dahulu lagi terutama di kawasan kampung.

Cuma hasilnya mungkin tidaklah secomel atau seunik produk sekarang.

Ibu-ibu yang tidak bekerja contohnya akan menghabiskan waktu senggang mereka dengan mengait benang-benang menjadi alas televisyen, alas meja, topi serta stoking kanak-kanak.

Bagi seorang guru, Rosmalia Muhammad, 30, dia yang mula terdetik untuk belajar cara-cara mengait selepas melihat hasil seni halus mengait kakaknya kini semakin gian dengan hobi masa senggang itu.

“Mula-mula saya hanya mengait topi, penyepit rambut untuk anak saya, kemudian pernah sekali saya hadiahkan kepada anak rakan saya, ramai yang tertarik melihat kreativiti saya.

“Selepas mendapat permintaan ramai, saya mula memasarkan pelbagai perhiasan yang dibuat menggunakan jahitan mengait melalui blog dan laman sosial Facebook,” katanya mengakui banyak mempelajari teknik-teknik mengait melalui buku keluaran Jepun.

Kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan Triang, Pahang itu, minatnya terhadap kerja-kerja mengait begitu mendalam sehingga dia sanggup berbelanja membeli sejenis jarum mengait khas yang hanya dijual di Jepun iaitu Hamanaka Rakuraku.

“Dengan menggunakan jarum baru itu, ia lebih memudahkan saya untuk membuat chochet hiasan bunga di topi yang kini semakin popular dengan menggunakan benang saya beli dari Turki melalui laman sesawang benangkait.com.

“Saya banyak mendapat idea dengan melayari laman web yang kebanyakan dari Jepun, walaupun tidak memahami bahasa yang digunakan, tetapi mereka menunjukkan langkah-langkah dengan terperinci yang memudahkan,” katanya yang juga gemar membuat sejenis patung yang dibuat daripada kain perca yang kemudian disumbat dengan fiber iaitu gentian benang sintetik. Dia kini sedang mencuba mengait patung yang dikenali sebagai amigurumi.

Kualiti kraf buatan tangan

Konsep zakka semakin mendapat tempat di hati, tetapi ia masih lagi hanya di dalam pasaran khusus untuk remaja. Bagi seorang pereka grafik, Saw Sue Mei, 26, dia mengakui tidak ramai di Malaysia yang tahu nilai barangan buatan tangan.

Dia yang turut gemar membuat barangan hasil kerja tangan seperti penanda buku, bantal peluk, klip rambut dan juga beg sandang, kecewa apabila ada yang memperlekehkan hasilnya.


HIASAN burung hantu yang dibuat daripada kertas keras boleh menjadi hiasan comel di meja kerja atau rak rumah.


“Zakka tidak mendapat publisiti secara meluas di negara kita, ia menyebabkan ramai yang merungut apabila harga barangan zakka ada yang agak mahal.

“Mereka mungkin tidak tahu menilai seni serta kreativiti tangan itu yang walaupun nampak kecil dan biasa tetapi, memerlukan bakat serta konsentrasi yang tinggi” katanya.

Pendapatnya turut dipersetujui oleh Noramalina Zakaria, 18, yang mengakui mereka yang membuat hasil tangan memerlukan komitmen masa kerana ia dibuat sedikit demi sedikit demi memastikan kekemasan dan kualitinya terjaga.

“Saya percaya, mereka yang membuat perhiasan dengan menggunakan sepenuhnya kerja tangan memerlukan kesabaran yang tinggi, walaupun kos yang dikeluarkan tidak banyak. Harga dibayar pembeli itu adalah bagi membayar kreativiti pembuat tersebut,” terangnya panjang lebar.

Trend populariti zakka pada ketika ini mengingatkan kita kepada hasil-hasil buatan tangan zaman orang tua kita yang gemar membuat perhiasan menggunakan barangan terpakai serta yang mudah didapati sekali gus membawa kita mengimbau zaman lampau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment