MASUK KAMPUNG...penulis bersama anak Melayu Champa di depan rumah penduduk Kampung Prikajiay.
JIKA sebelum ini destinasi menarik dan bersejarah dijejaki, kembara di Kemboja sungguh menginsafkan dan membuatkan penulis merenung diri sendiri. Selepas melihat kedaifan saudara se-Islam di negara lain, timbul kesedaran dan rasa syukur tidak terhingga kerana dilahirkan di bumi Malaysia.
Menelusuri jalan kampung dengan kiri kanan sawah padi yang kering kontang, kehadiran penulis ke Kampung Prikajiay dalam negeri Kampung Cham, Phnom Penh, Kemboja sememangnya mencorakkan seribu satu rasa.
Sebaik pacuan empat roda dinaiki penulis mematikan enjin dan pintu kenderaan dibuka, kedengaran pengumuman dari pembesar suara surau. Serentak dengan itu, kumpulan anak kecil dan dewasa memenuhi ruang di bawah pokok asam jawa bagi menanti kehadiran kami.
Jika di jalan utama, penulis disajikan dengan pemandangan rumah penduduk yang penulis kira daif, di Kampung Prikajiay, keadaannya lebih teruk lagi. Terasa bagaikan berada di era 1970-an apabila melihat tempat berteduh yang dikatakan rumah, sebenarnya tidak lebih sekadar pondok berdinding dan beratap daun palma kipas yang mudah didapati di tepi sawah.
Tiada rumput hijau menutupi bumi, sebaliknya cuma tanah merah menjadi hamparan. Pohon besar yang menjadi tempat bernaung turut kering, manakala pohon renek hampir mati atau tidak berdaun.
Musim kemarau sejak enam bulan lalu mengubah pemandangan perkampungan Islam yang dihuni 250 keluarga daripada hijau kepada rona suram.
Bagaimanapun, walaupun cuaca panas, terik mentari tidak membahang, sebaliknya kami kekal dalam keadaan selesa kerana tidak berpeluh atau tubuh melekit.
Sebagai pembuka bicara, kami dijamu teh herba dan sedikit latar belakang kampung. Guru agama kampung berkenaan, Mohd Smari Ismail, 56, fasih berbahasa Melayu. Loghat percakapannya seperti bahasa Melayu yang digunakan di Kuala Lumpur, Selangor atau Johor.
Menurutnya, Prikajiay ialah kampung lama yang dibuka lebih 200 tahun lalu. Ia dihuni penduduk Islam Melayu Champa dari Vietnam yang melarikan diri ke Kemboja ketika peperangan.
Kehidupan mereka jauh ketinggalan. Tiada barangan mewah, sebaliknya kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sukarnya mencari sesuap nasi dan lepas daripada kepompong kemiskinan kerana kebanyakan mereka tidak berpelajaran.
Tanpa bekalan air bersih dan elektrik, penduduk menggunakan sumber bekalan air yang dipam dari bawah tanah manakala bagi yang berkemampuan, mereka yang mempunyai televisyen terpaksa menggunakan bateri sebagai sumber tenaga.
Pekerjaan utama penduduk ialah mengerjakan sawah padi dan bercucuk tanam. Bagaimanapun, ketika kunjungan kami, padi sudah dituai manakala bendang kering kontang.
Menurutnya, surau di kampung itu baru empat bulan siap dibina secara bergotong-royong. Ia mendapat bantuan kewangan daripada penderma Mesir yang disalurkan melalui pertubuhan kebajikan di Kemboja.
Pihak pemerintah tidak mendirikan masjid atau surau kerana penduduk Islam ialah golongan minoriti. Kebanyakan penduduk Kemboja ialah penganut Buddha.
Smari berkata, sumbangan diberikan penderma Mesir hanya mampu membuat bahagian dalam surau, manakala di bahagian luar surau masih berhutang. Penduduk berharap lebih banyak umat Islam tampil membantu.
Impian penduduk ialah satu hari nanti mereka dapat mendirikan sekolah agama bagi kemudahan anak di kampung berkenaan serta kawasan sekitarnya. Menurutnya yang berpengalaman 30 tahun sebagai guru agama, di sini, imam dipanggil ‘hakim’. Kampung Cham mempunyai 100 kampung dan 200 masjid.
Tiada siapa yang mempunyai kereta, cuma basikal atau kereta kuda dan bagi yang sedikit berkemampuan, motosikal menjadi pengangkutan utama.
Setakat ini, perkampungan itu kurang dijejaki orang Malaysia kerana ia terletak di pedalaman dan kurang dikenali. Program korban dan aqiqah setahun sekali yang dilakukan orang kita biasanya dijalankan di perkampungan Islam di seberang Sungai Mekong.
Penduduk kampung membawa kami melawat dari rumah ke rumah. Kebanyakan rumah bertiang tinggi dengan di bahagian bawah untuk tempat berehat dan memasak. Kedai runcit yang menjadi tempat penduduk mendapatkan barangan tidak ubah seperti pondok tanpa dinding.
Wajah penduduk Melayu Champa tidak jauh berbeza dengan orang Melayu kita. Dengan kulit sawo matang, jika mereka mahir berbahasa Melayu, sukar membezakan antara orang Melayu kita dengan Melayu di Kemboja.
Bahasa pertuturan orang Kampung Cham ialah Bahasa Cham. Banyak sekolah di Kampung Cham menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Smari sendiri misalnya, menguasai Bahasa Melayu kerana belajar agama menggunakan kitab Melayu dan Arab. Jadi tidak hairan semakin ramai golongan muda mampu bercakap Bahasa Melayu dengan orang luar, terutama dari Malaysia dan Singapura.
Penduduk, Ahmad Ali, 43, ramah menyapa kami. Menurutnya, dia pernah bekerja dan menetap di Malaysia selama empat tahun.
Selepas bekerja sebagai buruh binaan mendirikan surau di Sungai Besi, dia pulang ke tanah air tiga tahun lalu. Rumahnya kini dalam pembinaan daripada kayu kepada batu-bata.
Jarak Kampung Prikajiay dari Kampung Cham ialah 32 kilometer manakala dari Phom Penh sejauh 95 kilometer. Perjalanan dari Phom Penh ke kampung itu mengambil masa dua setengah jam.
Keluar dari kampung itu, kami singgah di kedai makan Kampung Prey Sreay. Kami menikmati sajian enak ikan haruan bakar dengan ulaman, sup ayam kampung dan kacang panjang dengan hirisan daging batang pinang.
Menantu pemilik kedai makan, Ahmad Sulaiman, 27, yang pernah bekerja kilang besi di Balakong, fasih berbahasa Melayu. Kata Ahmad yang baru mendirikan rumah tangga sebulan lalu, dia mampu menguasai Bahasa Melayu dalam tempoh enam bulan menetap di Malaysia.
Menurutnya, Kemboja mempunyai 24 negeri dan di semua tempat ada penduduk beragama Islam. Di Kampung Cham, orang Islam banyak menetap di seberang Sungai Mekong, Kampung Chemnik. Penduduk belajar agama di masjid manakala kanak-kanak memulakan alam persekolahan pada usia empat tahun. Bagaimanapun, ramai anak muda berhenti sekerat jalan kerana kekangan kemiskinan.
Untuk ke Phnom Penh, penulis dan suami menaiki bas dari Siem Reap dengan tambang AS$10 (RM30). Kami menempuh perjalanan enam jam sebelum bertemu pemandu pelancong kami, Bora yang menunggu di stesen bas Phnom Penh.
Sepanjang perjalanan dari Siem Reap ke ibu negara Kemboja itu, kami disajikan pemandangan sawah padi terbentang. Kebanyakan lembu di Kemboja berwarna putih manakala di kawasan paya atau kolam, mudah didapati kawanan itik.
Di sepanjang perjalanan, rumah penduduk berdinding dan beratap daun palma kipas menjadi santapan mata. Di depan setiap rumah kelihatan kolam dipenuhi pokok teratai mahupun itik berenang.
Rumah bertiang tinggi dibina teratur dalam sebidang tanah gersang. Di belakang setiap rumah kelihatan petak sawah yang kering kontang diselangi pohon palma kipas.
Penduduk lebih berkemampuan boleh dijangkakan dengan melihat pada tangga yang lebih cantik, rumah papan atau batu. Dua hari kami di Phnom Penh, tetapi pengalaman melihat kesusahan orang lain menginsafkan diri.
Ketika menunggu bas bertolak dari perhentian bas Siem Reap, kelihatan ramai penjual roti menawarkan jualan mereka. Separuh perjalanan ke Phnom Penh, bas yang kami naiki singgah di Kampung Thom.
Di tepi jalan, beberapa peniaga Kemboja menjual cengkerik goreng. Dulang berisi cengkerik goreng agak penuh dan ia dijual dengan sukatan menggunakan tin. Difahamkan, cengkerik dijadikan sebagai snek oleh orang Khmer.
Ramai penumpang bas yang kami naiki ialah pelancong sama ada Mat Salih mahupun Melayu. Tidak risau berada di Kemboja kerana mudah terserempak dengan orang Malaysia.
Bas yang kami naiki kerap membunyikan hon. Sepanjang perjalanan, hon dibunyikan ketika mahu memotong bagi memberitahu pemandu atau penunggang di depan atau dari arah bertentangan.
Sebelum itu, kami singgah makan di restoran Malaysia dan Singapura Di Phom Penh. Menu disediakan dalam Bahasa Melayu, misalnya roti canai, roti telur, nasi lemak, nasi goreng dan nasi campur.
Pekerja restoran berkulit mulus, bertanya penulis dalam Bahasa Melayu. Menurutnya, dia tahu berbahasa Melayu kerana di bersekolah aliran Melayu di kampung asalnya di Kampung Cham.
Sepanjang perjalanan ke Phnom Penh juga kelihatan banyak pusat Islam. Di beberapa tempat, ada kilang batu bata. Batu merah yang berongga itu dibakar menggunakan kayu getah.
Di tanah subur, kelihatan ladang kacang tanah. Di Phnom Penh, kami turut melawat muzium negara dan Killing Field, kawasan yang menjadi saksi pembunuhan kejam Pol Pot.
Pada zaman pemerintahan rejim Khmer Rouge sekitar 1975, 20,000 penduduk Kemboja diseksa dan mayat mereka ditimbus dalam lubang cetek di kawasan yang asalnya jirat Cina.
Selain itu, kami mengunjungi pasar malam di Phnom Penh menaiki tuk-tuk dengan bayaran AS$4 (RM12) bagi satu perjalanan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: