Sunday, April 24, 2011

Melodi Dira

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Sebagai pengacara baru program Melodi, Dira akur masih ada ruang baiki kelemahan

BANYAK kritikan dilemparkan sepanjang tiga minggu Dira Abu Zahar mengendalikan program hiburan sensasi, Melodi sebagai hos di samping Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Zizan.Bahkan sebelum melangkah ke set Melodi lagi, pelbagai keraguan terhadap dirinya sudah kedengaran. Nada sinis sering menyapa Dira, seolah memperkecilkan kemampuannya untuk mengambil tanggungjawab berat itu daripada Fara Fauzana.
Wanita yang berasal dari Merlimau, Melaka, ini cekal menerima setiap kritikan yang bertubi-tubi menyerangnya. Langsung tidak terguris, meskipun kebanyakan maklum balas seolah-olah cuba membunuh semangatnya.

Dira akur menerima kenyataan dirinya memiliki banyak kelemahan untuk diperbaiki. Namun pintanya kepada semua, usah terlalu pantas menjatuhkan hukuman tanpa terlebih dulu memberi ruang kepadanya untuk menggali seluruh kemampuan sebenarnya.

“Saya masih terlalu baru, malah sedang bergelut untuk mendapatkan rentak dan memahami konsep program itu. Berikan saya sedikit masa untuk membuktikan kemampuan saya.

“Saya tidak menyalahkan penonton jika mereka meletakkan harapan terlalu tinggi. Fara mengendalikan Melodi selama enam tahun, pastinya penonton sudah sebati dan serasi dengan caranya mengendalikan program itu. Saya pula baru beberapa minggu diberi peluang, mana mungkin saya dapat terus tampil sempurna dan memberi persembahan setanding Fara,” kata Dira yang sedang menyesuaikan diri dengan tanggungjawab berat itu.
Dira, 27, tidak menafikan, pada minggu pertama mengacarakan Melodi dia agak panik kerana program itu bersiaran secara langsung dari Arena Of Stars, Genting Highlands sempena ABPBH 2010.

Perlahan-lahan kata Dira, dia cuba membawa dirinya menyelami tuntutan program itu. Akur masih ada kekurangan dan kekhilafan yang perlu segera diatasi, Dira percaya waktu akan membasuh semua pandangan sinis itu.

“Saya mahu bersama Melodi untuk tempoh waktu yang panjang, jadi saya berharap penonton tidak akan pantas jemu dengan cara saya.

Disebabkan itu, saya cuba membuka diri kepada khalayak untuk mengenali dan mendekati siapa Dira sedikit demi sedikit. Saya boleh terus menjadi pengacara yang bertenaga dan agresif, tetapi bersediakah penonton untuk melihat saya begitu?

“Biarlah saya mendaki perlahan tetapi disenangi daripada pantas dikenali sudahnya dibenci kerana gagal mengawal diri di depan kaca televisyen,” katanya memberi justifikasi mengapa memilih untuk bersederhana pada bulan awal sesi perkenalannya dengan peminat Melodi.

Bekas finalis Artis Baru Wanita Popular, ABPBH 2009 ini berkata, dia sudah menjangka perkara itu apabila memberikan kata persetujuan untuk menjadi peneraju Melodi.

Malah, dia sendiri sudah menyiapkan diri untuk ‘ditembak’ dengan cemuhan dan kata perbandingan kerana semua itu lumrah sebelum penonton bersedia menerima perubahan yang dibawa.

“Tidak semua orang boleh menerima cara saya. Tidak mengapa, saya tak berkecil hati kerana semua itu memerlukan masa. Saya sudah bersedia menerima apa saja risiko.

“Saya sendiri masih dalam proses pembelajaran. Sehingga hari ini, saya masih bergelut untuk memastikan saya selesa dengan konsep Melodi. Alhamdulillah, saya tidak bersendirian kerana selain tenaga produksi, Zizan juga banyak membantu. Dia spontan, selain pengalamannya beraksi secara langsung di pentas memberikan banyak kelebihan apabila berdiri di depan kamera.

“Namun, saya percaya setiap kami mempunyai keistimewaan tersendiri. Kekurangan saya akan dilengkapi Zizan, begitu juga sebaliknya. Apa yang perlu ialah saling membantu dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Bekas pengacara Jom Ronda dan Fulus Mania ini juga tidak gusar andainya satu hari nanti dirinya menjadi ‘mangsa serangan’ Melodi.

Persepsi Dira terhadap Melodi tidak pernah berubah kerana di sebalik segala isu sensasi, program itu pada matanya, masih menyalurkan informasi penting kepada khalayak.

Bagi Dira, apa juga provokasi yang diketengahkan Melodi sekadar menguji bagaimana seseorang personaliti atau selebriti mengendalikan emosi dan memanipulasi soalan supaya tidak melatah di depan kamera.

“Ia umpama sebuah permainan, jika bijak kita akan menang dalam permainan itu. Mengapa perlu takut dengan persepsi orang, sedangkan tidak semua hal dan kebenaran mengenai diri kita diketahui sepenuhnya oleh mereka. Saya cuma menjadi diri sendiri. Pernah juga saya bertanya, apakah nanti saya juga akan menjadi rencah untuk disensasikan di Melodi?

“Jika itu berlaku, mungkin saya hanya akan tersenyum. Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu. Saya cuma menjalani hidup ini dengan jujur dan ikhlas, jadi tiada isu besar untuk dibangkitkan,” katanya.

Cari tarikh sesuai naik pelamin

UMUM mengetahui Dira yang juga ibu tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan, Tengku Anggun Deandra Tengku Tengku Shafiz-Rullah, 3, kini bergelar tunangan kepada pengarah fotografi, Mohd Helmi Mohd Yusof.

Kekosongan hatinya selepas setahun rumah tangga yang dibina bersama anggota kumpulan Bau, Ash atau nama sebenarnya Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid musnah, kini terisi dengan kehadiran Mohd Helmi. Perkenalan singkat selama tiga bulan yang berputik ketika penggambaran filem Untuk Tiga Hari membawa pasangan ini ke satu fasa baru dalam hidup mereka.

Dira yang baru sembuh daripada kemalangan kecil apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas di lebuh raya bagaimanapun, agak malu-malu untuk berbicara mengenai isu peribadi. Cuma, senyum panjang mengiringi satu demi satu soalan yang diajukan kepadanya, menterjemahkan ruang bahagia yang sedang menghuni sudut hatinya.

Jelas Dira, mereka masih belum menetapkan tarikh perkahwinan disebabkan kesibukan bakal suaminya yang terikat dengan pelbagai komitmen kerja.

“Kami sedang mencari tarikh yang sesuai, malah berusaha untuk merealisasikan impian kami berdua pada tahun ini juga. Saya tiada masalah kerana jadual kerjaya yang tidak terlalu ketat. Saya juga tidak memaksa Helmi kerana memahami tuntutan kerjanya yang menuntut waktu yang panjang.

“Helmi banyak terbabit dengan produksi filem, manakala setiap penggambaran pula memakan masa yang panjang. Mahu atau tidak, dia perlu mengutamakan kerja tetapi Insya-Allah jika tiada aral kami akan bersatu pada tahun ini,” katanya.

Dira juga berkata, tempoh perkenalan singkat bukan bermakna mereka membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya semua persetujuan itu dicapai selepas berbincang dan berfikir semasak-masaknya.

INFO: Dira
Nama sebenar: Khaidhirah Abu Zahar
Asal: Merlimau, Melaka
Tarikh lahir: 2 Mac 1984
Status: Ibu Tunggal
Anak: Tengku Anggun Deandra
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam
Hobi: Menunggang Motosikal Berkuasa Tinggi
Kerjaya: Pelakon dan Pengacara Rancangan Televisyen: Fulus Mania, Jom Ronda bersama Proton dan Melodi
Drama: Delima, Cinta Tanpa Suara, Rona Roni Makaroni, Merah Puteh, Seratus Harijadi, Tower13, Aki Nabalu, Arjuna, Perempuan, Dua Kali Mencintai Mu dan Crossings
Filem: My Indie Rock Darling
Teater: Kompilasi Vol II (Legasi) dan Tanda

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: