MANTAP...kakitangan menyokong usaha Jafri (tiga dari kanan) memajukan syarikat.
BELUM setahun jagung rumah tangga dibina pada 1986, dia melalui ujian getir apabila perniagaan hartanah dijalankannya goyah gara-gara kegawatan ekonomi.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dirasai, namun selaku ketua keluarga, cabaran dihadapi tidak merapuhkan semangat Datuk Dr Jafri Saamah, 48, untuk bangkit kembali sekalipun gajinya dipotong bagi mengurangkan beban syarikat.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Jafri membuang rasa malu dengan berniaga di pasar malam di Lembah Klang. Masanya sentiasa terisi kerana sesekali bagi menambah pendapatan, dia mencuri peluang membuka gerai menjual roti canai untuk menampung keperluan yang mendesak.
Selang beberapa tahun kemudian, sekali lagi ekonomi kurang memberangsangkan melanda negara. Ujian dihadapi lebih perit berikutan perniagaan berasaskan industri automobil sebagai pengedar kereta nasional yang dijalankannya ketika itu sukar mendapat pinjaman bank.
“Selepas hampir dua kali mengalami kejadian sama, ia mengajar saya menggunakan kreativiti bagi merencanakan perniagaan terbaik untuk bangkit semula. Justeru, saya percaya kena ada ‘perancangan’ atau formula bersistematik supaya perkara sedemikian tidak berulang lagi.
“Bukan hanya perancangan penting, tetapi mengkaji bagaimana untuk berjaya semula dengan memanipulasi sumber yang ada. Jika itu dapat diatasi, saya yakin formula itu dapat memberi kesan baik untuk jangka panjang,” katanya yang mengakui setiap ujian ada hikmah tersendiri.
Memetik pepatah Inggeris, ‘no pain, no gain’, siapa sangka selepas lebih 20 tahun memerah keringat dalam perniagaan, Jafri kian melakar perniagaannya dalam bidang automobil dan minyak platinum serta gas di samping turut menyediakan rangkaian atau bengkel berkaitan permotoran.
“Walaupun banyak produk sedia ada di pasaran tempatan, saya yakin terhadap keupayaan dan ketahanan minyak yang kami import dari Amerika Syarikat.
“Setiap minyak mempunyai ketahanan atau kehebatan berbeza-beza, namun kami percaya produk kami boleh pergi lebih jauh.
“Intensif daripada kerajaan menjadi pemangkin kepada kami untuk menjadikan perniagaan ini titik tolak penting bagi menggalakkan penggunaan minyak ini yang ternyata mempunyai kualitinya tersendiri,” katanya.
Tidak tahu duduk diam, bersama pengarah dan pihak pengurusan syarikat, Jafri mencetus rangkaiannya bagi menguji kemantapan minyak berkenaan untuk dikaitkan dengan enjin, teknologi yang digunakan dengan melakukan testimoni pengguna, mekanik berkaitan permotoran, penuntut universiti bahkan pelumba bagi mendapatkan respons untuk produk itu.
Katanya, ia penting bagi mendapat gambaran jelas kerana kumpulan sasaran itu atau kenyataan yang diperoleh adalah penentu kepada produk berkenaan untuk bertahan lebih lama atau setanding serta mampu duduk sebaris dengan produk yang ada nama hebat di pasaran.
“Kami banyak menguji kehebatan kereta nasional dan jenama lain yang terkenal, terutama daripada segi teknologi tanpa geseran (ZFT) yang diformulasikan daripada teknologi nano yang membezakan minyak jenama platinum dengan minyak yang lain untuk bersaing secara sihat.
“Sehingga kini beberapa pelumba menguji kereta mereka menggunakan minyak platinum kami dan seorang pelumba wanita turut ditaja syarikat dalam perlumbaan serta mendapat podium (memenangi tempat kedua) dalam acara yang dianggap berprestij baru-baru ini,” katanya.
Dia tidak menafikan kebanyakan pelumba, mekanik mahupun mereka yang berkaitan dalam permotoran menjadi elemen penting kepada syarikat pengeluar minyak lubrikasi sepertinya untuk diuji kewibawaan.
Untuk itu, katanya, kolaborasi dengan kolej dan universiti yang berkaitan bagi memantapkan pengetahuan mengenai produk berkaitan minyak platinum juga penting.
Mengenai syarikat pengedaran berkaitan kereta nasional iaitu Proton Edar miliknya di Taman Keramat, Ulu Klang dan Bandar Baru Ampang, dia mengakui masih aktif daripada segi operasi jualan dan perkhidmatan.
Selain itu, dia memegang jawatan pengerusi dalam persatuan berkaitan permotoran dan turut memegang jawatan penting dalam aktiviti kemasyarakatan serta ligat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu badan kebajikan yang berkaitan rumah orang tua, anak yatim serta golongan kurang upaya (OKU) menjadi kayu ukur terbaik buatnya.
Jafri menyatakan rasa syukurnya apabila dianugerahkan keluarga bahagia dan berjaya, membuatkan mereka sering mencari masa berkualiti untuk sentiasa bersama sama ada melakukan aktiviti atau riadah mahupun melancong di dalam dan di luar negara apabila ada waktu terluang.
“Saya bangga atas sokongan padu keluarga yang memahami kerjaya ini. Begitu juga, penting kepada anak bila dapat mendedahkan mereka dengan kehidupan golongan susah apabila mereka turut menyertai aktiviti kemasyarakatan yang saya ceburi supaya mereka bijak menghargai kehidupan ini,” katanya.
PROFIL
NAMA: Datuk Dr Jafri Saa’mah
JAWATAN: Pengurus Besar Kumpulan, Platinum Oil & Gas Sdn Bhd
UMUR: 48 tahun
ASAL: Segamat, Johor
PENDIDIKAN: Ijazah Doktor Kehormat Kemanusiaan, Universiti Jerusalem, Chennai, India
ISTERI: Datin Sarina Osman
ANAK: Nurshazlin (22), Mohamad Alif Azri (19) dan Mohamad Aiman Azali (13)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: