SEORANG teman pernah bertanya: ‘di manakah lokasi paling ideal untuk melihat panorama pencakar langit Kuala Lumpur’ dan kemusykilannya itu ditambah pula dengan kriteria ‘kalau boleh biarlah kita seolah-olah meninjau dari kawasan tinggi’.
Bagi mereka yang berada di Lembah Klang, ada beberapa lokasi yang mungkin terlintas dalam fikiran. Selain Menara Kuala Lumpur yang bersuasana mewah dan pinggiran lereng bukit di kawasan perumahan Bukit Antarabangsa, Menara Tinjau Ampang di Bukit Langat adalah jawapannya.
Terletak sejauh 20 minit perjalanan bebas kesesakan trafik dari ibu kota, laluan ke lokasi itu disambut dengan papan tanda yang memaparkan tulisan Pusat Pelancongan dan Menara Tinjau (Look Out Point).
Khabarnya, itulah lokasi tumpuan ramai terutamanya ketika sambutan tahun baru. Waktu itu, kanvas langit malam diwarnai pertunjukan bunga api dari beberapa pusat sambutan popular di sekitar ibu negara.
Persekitaran yang bersih dan dijaga rapi oleh pihak pengurusan memberi kelebihan di lokasi atas bukit itu. Pujian harus diberi kepada pihak penyelenggara kawasan itu memandangkan faktor kedudukannya yang mungkin sukar untuk kerja-kerja pengurusan. Malangnya, begitulah yang terjadi di beberapa kawasan pelancongan air terjun di pinggir kota yang gagal diselia dengan baik.
Pesona senja
Menara Tinjau Ampang sinonim dalam kalangan warga kota sebagai lokasi menghayati suasana matahari terbenam pada waktu senja selain menyaksikan pemandangan keseluruhan Kuala Lumpur pada waktu malam.
Serakan cahaya warna-warni dari landskap hutan batu bertambah seri apabila dibalas dengan ton langit malam yang gelap atau adakalanya dicorakkan formasi awan dalam remang kemerah-merahan.
Temu janji Horizon bersama pemilik restoran Haven yang terletak di tebing bukit dekat kaki tangga ke menara tinjau itu disambut baik oleh Pengurus Restoran, Jul Amri Jadjurie yang kemudiannya menceritakan keindahan pengalaman menjamu selera di Haven yang berlatarkan panorama Kuala Lumpur.
Menurutnya, sudah menjadi adat bagi setiap pasangan yang dilamun cinta untuk mencari tempat istimewa bagi mengabadikan memori yang boleh diingati selamanya. Lebih bermakna jika lokasi itu menjadi lokasi bersejarah termeterainya ikatan suci sebagai pasangan suami isteri.
Itulah sentuhan ajaib yang dimiliki Haven. Ramai pasangan dikatakan melengkapkan kisah cinta mereka dengan melangsungkan perkahwinan di tempat tersebut.
“Sejak Haven beroperasi selama dua tahun, ramai pasangan yang melangsungkan perkahwinan di sini. Ada antara mereka bertemu buat kali pertama di sini, kemudian mengenali satu sama lain dan akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin.
“Suasana di Haven yang tenang dan diserikan pemandangan indah Kuala Lumpur terutamanya pada waktu malam, membuatkan mereka teruja dan berasa gembira untuk meluangkan masa bersama pasangan masing-masing,” kata Jul Amri.
Suasana romantik yang diwujudkan di Haven sememangnya mencetus perasaan tenteram. Apabila melihatkan beberapa pasangan di sudut restoran leka menikmati momen matahari terbenam, terpancar bibit-bibit bahagia antara mereka walaupun bagi yang menjadi pemerhati dalam diam.
Dekorasi meja yang bersahaja dengan lilin kecil dan hiasan bunga segar secara automatik menyemarakkan rasa ingin menghargai waktu dan persekitaran.
Lokasi pertemuan
Bagi pasangan yang ditemui selepas momen senja berganti malam, John Chaw Choon Hoe, 30, dan tunangnya, Susi Tan, 29, mereka tidak segan berkongsi kisah cinta mereka yang kini sudah masuk usia empat tahun.
Susi memberitahu itu bukan kali pertama mereka berkunjung ke Haven. Restoran itu telah menjadi salah satu tempat kegemaran mereka untuk bersantai dan meluangkan masa bersama setelah seharian bekerja.
“Kami suka makanan yang dihidangkan di sini tambahan lagi pemandangan di sini cukup indah. Lokasinya juga tidak begitu jauh dari rumah kami,” jelasnya yang menetap di Petaling Jaya.
Bagi John pula, dekorasi keseluruhan yang dipamerkan Haven menambat hatinya untuk sering berkunjung ke restoran itu.
“Bunga segar yang dihias di atas setiap meja membuatkan suasana menjadi lebih santai dan dekorasi restoran ini sudah cukup menyejukkan mata yang memandang,” katanya.
Lebih mengujakan apabila Susi dan John memberitahu mereka sedang merisik lokasi perkahwinan yang akan berlangsung pada hujung tahun. Tentu sekali Haven turut tersenarai sebagai lokasi pilihan.
“Ia tentu akan menjadi detik yang bermakna memandangkan pemandangan malam di sini cukup indah dan sesuai sebagai tempat melangsungkan hari bersejarah,” tambah John.
Binaan teguh pada ketinggian 280 meter dari paras laut menjadikan kedudukan Haven lebih bertuah berbanding restoran lain kerana pesona alam semula jadi itu hadir di sekelilingnya tanpa perlu dibuat-buat.
Pokok-pokok menjalar di premis menambahkan kesegaran suasana selain ketenteraman yang tercipta tanpa gangguan deruman kenderaan di jalan raya. Menikmati makan malam bertemankan dendangan cengkerik dan unggas hutan adalah suatu bonus!
Tradisional Melayu
Meneliti ke segenap ruang Haven, Jul Amri menjelaskan konsep restoran tersebut menekankan nilai estetika tradisional Melayu dengan ukiran kayu menghiasi dinding restoran.
Selain itu, susun atur meja dan kerusi rotan di Haven sering diubah setiap bulan bagi memberi suasana baru kepada pegunjung agar tidak bosan untuk datang menjamu selera di Haven.
Bunga segar yang dihias di meja pula akan bertahan selama tiga hari sebelum diganti dengan bunga berlainan jenis bagi mewujudkan persekitaran agar tampak baru.
Keramahan pelayan-pelayan di Haven juga membuatkan pengunjung berasa dekat dengan mereka tanpa ada formaliti seperti di restoran lain. Mereka dilatih untuk berinteraksi sebagai sahabat kepada pengunjung dengan memberi cadangan menu dan juga menyediakan pelbagai bentuk permainan.
Menghalusi konsep santai Haven, Jul Amri memberitahu mereka lebih gemar pengunjung berasa selesa tanpa perlu mengikut sebarang protokol yang ditekankan di sesetengah restoran.
“Selalunya apabila ada pengunjung kita yang datang seorang diri atau pasangan yang kelihatan bosan, pelayan kami akan menghampiri untuk menguji mereka dengan teka-teki dan permainan menarik agar mereka berasa ceria.
“Sebagai ganjaran, pengunjung juga diberi diskaun untuk makan malam tersebut dan cara ini nyata digemari rata-rata pengunjung kami,” katanya.
Memandangkan Haven sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, juadah yang disediakan merangkumi pelbagai pilihan bermula dari masakan tempatan, Asia Barat dan juga masakan Barat.
Menu tempatan yang wajib dicuba pengunjung ialah kuetiau Penang dan nasi goreng tomyam yang mungkin kedengaran biasa tapi rasanya nyata berbeza dari tempat lain.
Buat penggemar hidangan Asia Barat pula, makanan berat seperti beriani kambing basmati dan juadah sampingan, Fatayer Combo yang merangkumi daging ayam, lembu, kambing, sayuran, keju dan herba za’atar, pasti membuka selera.
Kaki kambing panggang (braised lamb shank) merupakan antara menu Barat yang perlu dicuba pengunjung. Menggunakan daging kambing yang diimport, teksturnya begitu lembut dan seakan-akan mencair apabila dikunyah.
Kelazatan itu adalah resipi yang dicipta eksklusif oleh chef di Haven. Kesemua menu dihidangkan dalam saiz hidangan yang pasti membuatkan pengunjung berpuas hati dengan rasa, hiasan dan persembahan makanan di Haven.
Pengunjung yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi talian 016-2323999 atau melayari laman web Haven di www.havenrestaurant.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: