Saturday, April 23, 2011

Pelanggan kenal kualiti GIVI


GIVI Point di Kuala Lumpur menawarkan pelbagai keperluan dan aksesori kepada kelompok penunggang motosikal tempatan.


APABILA langit kelihatan mendung dan titisan air mula membasahi bumi, rata-rata penunggang motosikal akan berhenti di tepi jalan. Tempat duduk motosikal dibuka. Ada juga yang menyelongkar kotak utiliti yang dipasang di belakang motosikal mereka. Hanya satu perkara dalam fikiran. Baju hujan.

Percaya atau tidak, baju hujan turut mengalami perkembangan fesyen tersendiri. Lewat tahun 1980-an, fesyen baju hujan kelihatan seperti kot hitam Darth Vader dalam filem Star Wars. Awal tahun 1990-an pula, baju hujan warna kuning mula menjadi pilihan. Sama warna dengan baju kot Dick Tracy, watak polis penyiasat dalam komik bertajuk sama.

Pada ketika itu, hanya baju hujan free size dilambakkan dalam pasaran. Satu baju boleh memuatkan seorang dewasa dan seorang kanak-kanak. Kemas lagi baju kelawar yang dijual di pasar malam. Ini realiti produk yang ditawarkan kepada penunggang motosikal.

Pengaruh baju hujan Darth Vader dan Dick Tracy itu pudar apabila pengeluar seperti GIVI Asia Sdn. Bhd. (GIVI Asia) mula menawarkan rangkaian produk dengan pilihan saiz dan material berkualiti. Soal mengapa jenama Itali itu berbuat demikian dijawab sendiri oleh Pengurus Operasi Luar Negara GIVI Asia, Joseph Perucca.

“Ketika kami melakukannya, tiada syarikat yang memenuhi spesifikasi produk dengan tepat dan menitikberatkan aspek keselamatan penunggang motosikal di negara ini,” katanya.

Perompak industri

Sama seperti syarikat OEM lain, GIVI Asia tidak dapat lari daripada satu masalah utama industri. Apa lagi kalau bukan perompak industri atau lanun cetak rompak.

“Ini suatu perkara yang amat memalukan kerana kerugian ditanggung banyak pihak. Mereka mencuri dua kali. Satu daripada pelanggan dan keduanya kami.

“Lazimnya harga barangan ciplak 30 peratus lebih murah daripada produk tulen. Tetapi kualitinya pula 60 peratus lebih rendah,” katanya yang mengakui Masalah ini amat sukar dikawal dan memerlukan kos tinggi untuk mengatasinya.

Lanun cetak rompak cukup bijak menghasilkan produk baju hujan yang sukar ditentukan ketulenannya. Logo, butang, zip sehingga pelekat hologram berjaya ditiru.

Penulis sendiri pernah menjadi mangsa. Baju hujan ciplak dibeli di sebuah kedai motosikal berhampiran Taman Dagang, Ampang pada harga RM90 satu set. Malangnya, selepas tiga kali dipakai, zipnya sudah tercabut.

Tetapi keadaan di Malaysia boleh dikatakan tidak begitu kritikal jika dibandingkan dengan kuasa baru ekonomi Asia, China.

“Kami agak bernasib baik di sini kerana pelanggan sudah mengenali kualiti GIVI. Peniaga juga tahu tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka sekiranya terlibat.

“Jika dibandingkan dengan China, sembilan daripada sepuluh penunggang motosikal menggunakan produk GIVI tiruan,” katanya yang menyatakan ada juga produk berkenaan diedarkan ke pasaran luar China.

Berhubung jumlah kerugian yang dialami pihaknya, beliau tidak dapat memberikan nilai kerana kebanyakan transaksi dilakukan di kaunter. Berbeza dengan keadaan sebelum ini yang mana barangan tiruan GIVI dipamerkan secara terang-terangan.

Namun begitu, masalah itu tidak meliputi produk lain seperti kotak utiliti dan topi keledar keluaran GIVI. Sebabnya, penghasilan produk tersebut melibatkan kos yang tinggi.

Di peringkat global, GIVI terkenal dengan kotak utiliti dan menguasai pasaran sebanyak 65 peratus. Di Malaysia, misalnya, ia menguasai 50 peratus pasaran, selain hampir semua jenama pengeluar motosikal berkuasa tinggi menggunakan kotak GIVI.

GIVI Lifestyle

Sebagai strategi mendekati pengguna, GIVI Asia mengorak langkah membuka ruang GIVI Lifestyle di pasar raya besar dan di dalam kedai pengedar-pengedar produknya. Pusat tersebut mempamer dan menjual produk GIVI, di samping memberi informasi mengenai produk syarikat kepada pelanggan.

Buat masa ini, GIVI Lifestyle sudah dibuka di Giant Kinrara, Puchong, Chear Motor, Klang dan Tiga S Motor di Hulu Klang. Perucca memberitahu, pihaknya berhasrat mengadakan kerjasama dengan pengedar-pengedar produknya untuk mewujudkan sehingga 15 buah GIVI Lifestyle di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Sebenarnya, sejarah GIVI bermula pada tahun 1978. Ia diasaskan oleh Giuseppe Visenzi, bekas pelumba motosikal yang pernah memenangi tempat ketiga Kejuaraan Dunia kelas 350cc tahun 1969. Kini beliau ialah pengerusi GIVI.

Di GIVI, sebilangan besar pengurus atasan dan kakitangan syarikat GIVI termasuk Perucca aktif menunggang motosikal berkuasa besar. Jadi, siapa yang lebih memahami keperluan penunggang motosikal kalau bukan penunggang sendiri?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: