Saturday, April 23, 2011

Signatur biskut cip coklat DoubleTree


KEMERIAHAN suasana hiasan bankuet di Grand Ballroom yang terletak di tingkat 10.


PENGALAMAN menginap selama tiga hari dua malam di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur sungguh mengujakan. Kemesraan yang dipamerkan kakitangan pihak hotel itu bukan sahaja memudahkan komunikasi malah menjadikan penginapan di situ suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Kurang 10 minit berjalan kaki dari stesen LRT Ampang Park di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak, hotel bertaraf lima bintang itu tersergam megah. Sebaris dengan bangunan-bangunan kedutaan berdekatan, DoubleTree benar-benar strategik dari segi lokasi.

Bangunan yang berkongsi dengan pusat perniagaan Intermark itu dahulunya juga sebuah hotel dan pusat komersial, kini dibangunkan semula di bawah payung jenama ‘pokok berganda’.

“DoubleTree mempunyai makna yang khusus. Seperti dua batang pokok boleh memberi penginapan, perlindungan dan rehat kepada seseorang, DoubleTree juga membawa signifikasi yang sama.

“Ia adalah tempat untuk memberikan anda keselesaan dan penginapan seolah-olah di bawah redup pokok,” kata Pengurus Komunikasi dan Pemasaran DoubleTree rangkaian Hotel Hilton, Cindy Wong.

Nota-nota kecil

Tambahnya, ia bukan sekadar hotel yang mengutamakan nilai komersial tetapi pihaknya amat peka terhadap kepentingan penggunaan bahan kitar semula sebagai salah satu cara berterima kasih dan menghargai alam sekitar.

Justeru itu, Hotel DoubleTree banyak menyediakan nota-nota kecil di bilik untuk mengingati pelanggannya supaya bercermat di samping menyediakan kertas dan pensil yang menggunakan bahan kitar semula.

“Ramai orang yang mula memilih produk mesra alam. DoubleTree adalah salah satu daripadanya.

“DoubleTree juga turut menunjukkan kasih sayang kepada semua pelanggan kami menerusi Jawatankuasa CARE yang mengambil berat kualiti, perkhidmatan, perhubungan positif serta sumbangan kepada komuniti,” kata Cindy mengenai elemen khusus hotel itu.


RUANG sambutan yang luas mengujakan tetamu ketika melangkah masuk ke dalam hotel.


Hotel yang dibuka pada bulan Ogos tahun lalu itu merupakan projek pembangunan integrasi dengan bangunan komersial Intermark. Ia menawarkan sebanyak 540 buah bilik yang ditempatkan di 34 tingkat bangunannya.

“Kami sangat peka terhadap pelanggan yang mengunjungi DoubleTree. Oleh itu, kami menawarkan penginapan yang lengkap dan disertai layanan yang mesra. Pemberian biskut cip coklat adalah salah satu cara kami mendekatkan diri dengan pelanggan,” kata-kata Cindy sememangnya ada kebenaran.

Keenakan rasa biskut coklat cip yang ditawarkan dalam pek kecil tentu sekali satu elemen tarikan yang mendekatkan pelanggan dengan jenama DoubleTree. Ia satu konsep yang baru, tetapi kini sebut sahaja mengenai biskut coklat cip, minda pastinya terfikir pada DoubleTree.

Bukan itu sahaja, DoubleTree juga menawarkan pelanggan dengan pengalaman tidur yang mengujakan!

Satu senarai bantal disediakan pada tilam untuk pelanggan memilih mengikut keperluan kesihatan mahupun jika sekadar ingin mencuba.

Kemudahan lengkap

Dengan reka bentuk dalaman yang segar, setiap bilik standard yang berkeluasan 32.5 meter persegi menawarkan pemandangan panorama Kuala Lumpur dan sebahagian Lembah Klang.

Unit penginapan turut dilengkapi meja kerja, akses Internet berkelajuan tinggi, televisyen LCD 32 inci dengan antara muka multimedia berdefinisi tinggi (HDMI), kemudahan membuat kopi dan teh serta produk sanitasi yang mewah.

Bagi menambah nilai kepada bilik-bilik eksklusifnya, DoubleTree menawarkan sembilan tingkat eksklusif iaitu bermula dari Tingkat 26. Ia termasuk 156 bilik eksekutif, 19 bilik Deluxe Suite, 21 suit eksekutif dan lima Terrace Suite dengan ruang lanai yang luas untuk melihat panorama yang menakjubkan.

Bagi mereka yang memilih untuk tinggal di tingkat eksekutif itu, pelbagai kemudahan ditawarkan termasuk sarapan pagi dan snek pada waktu tengah hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: