Sunday, April 3, 2011

“Hati saya tetap pada Kak Pah”


Shaiffudin mahu terus mengumpul koleksi Datuk Sharifah Aini.


LAGU Kisah Yang Terjadi kerap diputarkan di radio sekitar tahun 1975.

Terpesona dengan keindahan lirik dan melodinya menjadikan lagu itu pencetus buat Muhammad Shaiffudin Sarif untuk meminati biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

Meskipun ketika itu Shaiffudin baru berusia lapan tahun, namun dia tahu, Sharifah Aini adalah orang yang paling layak untuk berada di dalam hatinya sebagai idola.

Cerita pemuda berusia 45 tahun itu, dahulu, minatnya terhadap penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan ramai terutama keluarga.

Semuanya kerana dia segan untuk memberitahu bahawa wanita yang sering dikenali sebagai Kak Pah itu adalah penyanyi kesayangannya.

“Bayangkan, segala gambar, keratan akhbar atau majalah berkaitan Kak Pah saya simpan bawah tilam atau di mana-mana sahaja tempat tersorok.

“Masa itu budak-budak lagi. Segan nak mengaku. Tetapi sekarang lain. Sebut apa sahaja. Konsert Kak Pah di semua lokasi saya pergi.

“Album dia semua saya ada, gambar-gambar dia, jangan cakaplah, berlambak-lambak ada dalam simpanan,” katanya bersungguh.

Menurut Shaiffudin, koleksi paling dalam simpanannya selain piring hitam adalah gambar-gambar Kak Pah dari awal pembabitannya dalam bidang seni termasuk beberapa keping gambar penyanyi itu semasa kecil.

Layak dipanggil peminat tegar Kak Pah, Shaiffudin turut mengaku menyimpan kenangan bersama penyanyi bersuara merdu itu.

Antaranya, dia pernah dipelawa menaiki kereta bersama Sharifah Aini dalam perjalanan pulang selepas selesai menonton konsert penyanyi itu sekitar tahun 1998.

“Sungguh tak sangka, seorang diva seperti dia tak kisah hendak menumpangkan seorang peminat seperti saya menaiki keretanya sampai ke luar pintu pagar.

“Nampak yang dia tak meninggi diri meski sudah bergelar biduanita negara. Di dalam kereta sempat kami berbual-bual sebentar. Itulah pengalaman manis sepanjang saya meminati Kak Pah,” ujarnya.

Ditanya keistimewaan Kak Pah pada matanya, jelas Shaiffudin, selain personaliti yang menarik, bakat Kak Pah sebagai penyanyi juga unik dan lain daripada yang lain.

“Kalau dia menyanyi, sebutan setiap perkataan dalam nyanyiannya jelas. Tak seperti artis lain. Selain menyanyi, dia pun berbakat dalam bidang lakonan.

“Saya juga suka pada sepasang mata yang dimiliki Kak Pah. Cukup cantik!” pujinya tanpa segan.

Sukar membuat keputusan lagu yang benar-benar menjadi kesukaannya, kata Shaiffudin, kebanyakan lagu Kak Pah cukup istimewa di hatinya.

Berani bertaruh bahawa tiada artis lain setanding Kak Pah, akui Shaffudin, dia akan terus meminati idolanya itu sehingga ke akhir hayat.

“Datanglah Siti Nurhaliza atau Erra Fazira ke, hati saya tetap pada Sharifah Aini. Dia memang superstar sebenar,” katanya yang bercita-cita mahu membuat pameran koleksi Kak Pah kepada umum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: