Sunday, April 3, 2011

Bahagia walau hemofilia


Dr. Faraizah (paling kanan) bersama pesakit hemofilia, Edwin Goh, Zaiton M. Hassan (berbaju ungu) yang mempunyai dua anak penghidap hemofilia dan Pengurus Perhubungan Awam Bayer HealthCare, Janice Chow.


GELAGAT seorang kanak-kanak lelaki comel menarik perhatian. Ketika itu tetamu yang lain asyik mendengar pembentangan Presiden Pertubuhan Hemofilia Malaysia (PHM), Datuk Dr. Faraizah Abdul Karim, pada sidang media persatuan tersebut baru-baru ini.

Tidak menghiraukan orang di sekelilingnya, kanak-kanak itu mundar-mandir, sesekali dia berlari ke arah ayah dan ibunya yang duduk di belakang.

Jangkaan penulis, pastinya dia penghidap hemofilia. Jika tidak masakan dia boleh berada di situ. Usai acara, tanpa berlengah penulis terus mendekatinya.

“Adik siapa nama?” soal penulis kepadanya.

“Afzar,” jawabnya ringkas dan kembali berlari ke arah bapanya.

Berkenalan dengan ibunya, Norhana Hussain menerbitkan rasa kekaguman betapa wanita itu sangat tabah dan positif menempuh ketentuan-Nya.

Sambil tersenyum dia mengakui anak bongsu yang berusia lima tahun itu hemofilia. Dalam teragak-agak, penulis menyoal lagi adakah dia bersedia menerima kenyataan ketika anak itu dilahirkan?

“Oh! Itu memang sudah dijangka sebab saya juga penghidap hemofilia,” katanya dengan wajah tersenyum.

Menurut beliau, anak yang diberi nama Afzar Azhar Zainol Azhar itu mempunyai sepasang abang kembar berusia 22 tahun, juga penghidap hemofilia.

Disebabkan dirinya penghidap penyakit itu, maka dia tidak berasa ia satu perkara yang menyedihkan dan sudah bersedia untuk melalui keadaan tersebut.

Menyingkap sejarah hidupnya, Norhana yang juga Setiausaha Kehormat PHM berkata, dia hanya mengetahui dirinya penghidap hemofilia ketika berusia lima tahun selepas mencabut gigi.

Tertusuk jarum

“Saya mengalami pendarahan teruk hingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. Akhirnya setelah ujian dijalankan, didapati saya penghidap hemofilia dengan faktor pembekuan sederhana 1.2 peratus,” katanya.

Antara pengalaman yang paling mendebarkan bagi wanita itu adalah apabila jarum tertusuk dan tertanam di dalam kakinya ketika di tingkatan 3. Dia dibawa ke hospital dan doktor ingin melakukan pembedahan bagi membuang jarum tersebut.

Antara rasa mahu atau tidak, dia terpaksa menerangkan kepada doktor bahawa dirinya hemofilia lalu pembedahan tidak jadi dijalankan.

“Ketika itu kaedah rawatan tidak sehebat hari ini. Jika tidak dibuang, doktor takut jarum itu masuk ke salur darah. Nasib baik ia tersangkut pada bahagian sendi, jadi doktor buat keputusan untuk tidak membuangnya. ‘‘Sampai hari ini jarum itu masih ada dan kadangkala terasa juga kesannya,” kata beliau.

Norhana juga tidak terlepas melalui detik mencemaskan ketika bersalin anak sulungnya. Namun dia bersyukur kerana semua itu dapat dilalui dengan tenang dan selamat.

Ditanya bagaimana dia menjaga ketiga-tiga anaknya yang menghidap penyakit itu, katanya, dia tidak menyekat aktiviti mereka tetapi mengambil langkah berhati-hati.

“Kesemua anak saya diberi pendedahan mengenai hemofilia sejak mereka berusia dua tahun lagi,” katanya.

Seperti Afzar kata Norhana, dia tahu apa itu hemofilia dan akan mengambil ais sendiri andai mengalami luka kecil sebelum diberi rawatan selanjutnya.

Bertanya kepada suami Norhana, Zainol Azhar Mohd. Sidek bagaimana penerimaan keluarga terhadap bakal isteri ketika ingin berumah tangga dulu, beliau berkata;

“Saya tidak ada masalah kerana bagi saya ajal maut itu di tangan Tuhan. Namun, ibu saya pada mulanya agak keberatan. Tetapi bila diyakinkan kepada dia mengenai segala-galanya, akhirnya dia terima,” katanya.

Bagi Norhana sekeluarga, hemofilia bukanlah satu beban yang membantutkan mereka untuk mengecapi hidup secara normal. Malah penyakit itu mengeratkan lagi ikatan keluarga dan dalam masa yang sama membantu mereka yang mengalami nasib serupa di luar sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: