Monday, April 11, 2011

Didik generasi muda hargai air


Para pelajar mendengar taklimat daripada kakitangan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. semasa sesi lawatan ke Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih, Presint 19, Putrajaya, baru-baru ini.


GENERASI muda khususnya pelajar perlu dididik untuk menghargai air dan menggunakannya secara berhemah kerana bekalannya semakin terhad serta proses penghasilan air bersih melibatkan kos yang tinggi.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam Konsortium ABASS Sdn Bhd, Sazli Mohd. Salleh berkata, pelajar sewajarnya diasuh supaya menyedari tanggungjawab sebagai individu untuk menjaga kebersihan sungai dan diajar cara menjimatkan air.

"Pendedahan awal kepada pelajar sekolah adalah penting kerana generasi muda ini mudah untuk dibentuk dan menerima nasihat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat mengenai kaedah rawatan air minuman kepada 300 pelajar yang melawat Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih di Putrajaya, baru-baru ini.

Sebanyak empat sekolah terlibat pada sesi lawatan tersebut iaitu Sekolah Menengah Teknik Sepang, Selangor; Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya; Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Precint 16 (1).

Lawatan turut disertai seramai 23 kanak-kanak dari Rumah Yatim dan Miskin Taman Baiduri, Dengkil serta ahli-ahli Kelab Sukan dan Rekreasi Perangsang Selangor.

Kata Sazli, pendedahan kepada golongan muda ini amat penting bagi menerangkan kepada mereka tentang kerumitan dalam penghasilan air minuman yang bersih, berkualiti serta mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Perjanjian Konsesi.

"Pendedahan dan maklumat ini juga penting bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga sumber-sumber air agar ia terpelihara daripada pencemaran supaya mudah untuk dirawat," jelasnya.

Beliau berharap agar pelajar dapat berkongsi pengetahuan dengan sahabat, ahli keluarga atau saudara mara yang tidak berpeluang mengikuti lawatan itu.

Selain sesi taklimat, pelajar turut diberi peluang menyertai kuiz am dan aktiviti berkaitan proses air minuman di situ.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: