Monday, April 11, 2011

YPM tingkat prestasi pelajar pedalaman


Dr. ROSLI Mat Hassan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar cemerlang pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik PMR dan SPM di SMK Paku, Bau, Sarawak, baru-baru ini.


Yayasan Pelajaran Mara (YPM) komited untuk membantu para pelajar terutamanya di kawasan pedalaman memperoleh mutu pendidikan setaraf dengan kawasan bandar dan memastikan peluang pendidikan itu sama rata.

Pengerusinya, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan berkata, pendidikan amat penting kepada generasi muda lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman supaya mereka kelak menjadi orang berjaya dan mampu mengubah nasib keluarga.

"Harapan negara terletak kepada anak-anak muda masa kini yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan dan aset berguna kepada negara serta bangsa.

"Oleh sebab itu, pendidikan amat penting kepada mereka agar harapan kerajaan dapat direalisasikan dan proses transformasi akan dapat terus dilangsungkan," jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik di kawasan Bau, Sarawak, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 30 pelajar cemerlang dalam Penilaian Menegah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2009 dan 2010 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau, SMK Paku dan SMK Lake dipilih bagi menerima sumbangan itu.

Seramai 15 penerima Anugerah Cemerlang PMR dan SPM menerima sumbangan wang tunai bernilai RM300 setiap seorang. Manakala 15 lagi pelajar miskin dan berpotensi cemerlang turut menerima sumbangan bernilai RM300 seorang.

Menurut Rosli, sebagai sebuah organisasi yang bertindak selaku pelengkap pendidikan bumiputera, YPM akan terus membantu kerajaan dalam memperlengkapkan serta memperbaiki kekurangan yang ada bagi menjayakan agenda pendidikan negara.

"Kepentingan pendidikan amat dititikberatkan oleh kerajaan bagi mengubah mutu pendidikan di Sarawak agar setanding dan bergerak beriringan dengan perkembangan pendidikan di negeri-negeri lain," katanya

Hadir sama Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Sarawak (TCS), Azri Nor Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Sharif Hamid dan pengetua-pengetua sekolah terlibat.

Pada majlis sama, YPM turut menghulurkan sumbangan bernilai RM9,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ketiga-tiga sekolah berkenaan.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan SMK Paku, Jatim Sangin berkata, majlis anjuran YPM dan TCS wajar diadakan sebagai menghargai semua pihak dalam melahirkan modal insan berkualiti kepada negara.

"Sumbangan ini diharap dapat memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha gigih agar cemerlang dalam pendidikan.

"Ia juga mampu menggalakkan pelajar untuk bersaing secara sihat sesama sendiri dan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu kejayaan yang seterusnya membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," jelasnya.

Penerima Anugerah Pelajar Terbaik PMR dari SMK Bau, Martina Azelin Dirum berkata, sumbangan oleh YPM itu mampu untuk menyemarakkan lagi semangat para pelajar terutamanya pelajar kurang berkemampuan untuk berusaha meningkatkan prestasi mereka.

Seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM, Eliscia Vermmy Jiman dari SMK Lake memberitahu, sumbangan itu bukan sahaja mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk berusaha lebih gigih malah turut dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga yang kebanyakannya merupakan golongan berpendapatan rendah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: