Monday, April 18, 2011

Danish sumber inspirasi Shaaban

KELAHIRAN putera sulung pemain golf profesional negara, Mohd Shaaban Hussin (gambar) dua minggu lalu membuatkannya lebih bersemangat untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam setiap kejohanan yang bakal diharunginya tahun ini.

Shaaban, 31, yang mula menceburi sukan golf sejak berumur 14 tahun ketika menjadi kedi di Kelab Golf Diraja Kedah berkata, tahun ini memberi makna besar buat diri dan keluarganya selepas isteri kesayangan, Nur Azlina Nasruddin selamat melahirkan anak pertama yang diberi nama, Danish Irfan.

“Saya sangat teruja selepas bergelar bapa dan secara tidak langsung ia membangkitkan semangat baru untuk bekerja keras dan meningkatkan prestasi permainan. Dia menjadi sumber inspirasi saya.

“Secara kebetulan, tarikh lahirnya jatuh pada bulan yang sama saya berakhir pada Kejohananan Terbuka Malaysia Maybank (MMO) dan sudah tentu saya akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya kepada Mingguan mStar.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkata, MMO tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana ianya lebih istimewa dengan kehadiran ramai pemain-pemain dunia dan ia sesuatu yang baik kerana pemain-pemain tempatan boleh melihat lebih dekat lagi corak permainan yang dipamerkan oleh bintang dunia itu.

“Sebelum kejohanan ini saya telah melakukan persiapan dengan lancar termasuk menjalani latihan. Tidak ada yang banyak berubah dari segi pukulan dan harapnya saya boleh bermain dengan baik.

Danny (kanan) dan Shaaban dilantik sebagai Duta Terbuka Malaysia Maybank sempena Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank Maybank Malaysian 2011.

“Apa yang lebih menggembirakan ialah ketika sesi latihan dijalankan, saya tidak keseorangan kerana ramai pemain tempatan yang lain turut bersama berbanding ketika saya menyertai Kejohanan Golf Asia Pasifik Klasik CIMB Malaysia hujung tahun lalu.

“Kehadiran bintang dunia seperti Martin Kaymer, Louis Oosthuizen dan Rory McIlroy membuat saya lebih bersemangat untuk beraksi dan jika berpeluang saya ingin bermain bersama McIlroy. Dia masih muda, namun berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pemain-pemain terkenal yang lain,” katanya.

Sementara itu, Shaaban yang turut dilantik menjadi Duta Maybank bersama seorang lagi pemain profesional negara, Danny Chia berkata, kejohanan ini tidak memberi sebarang tekanan kepada dirinya kerana yakin pasukan negara mampu bersaing dan membuat kejutan di sini.

“Kita ada 16 orang pemain profesional dan enam orang pemain amatur dan saya menjangkakan kami akan melakukan yang terbaik. Selain mengejar kemenangan, apa yang penting bagi saya ialah pengalaman ini sangat berguna, lebih-lebih lagi kepada pemain tempatan.

“Jadi saya akan cuba satu persatu kerana kita semua sedar saingannya agak sengit, bukan sahaja daripada peserta-peserta lain, tetapi turut berhadapan dengan cabaran pada lubang ke-11, 12 dan 13 yang dianggap sebagai killer.

“Pun begitu, seperti yang dikatakan sebelum ini, apa sahaja boleh berlaku dan saya tetap mengharapkan aksi yang terbaik. Saya berharap dapat menamatkan permainan dalam kelompok bawah 30 tahun ini,” katanya yang beraksi kali-12 MMO ini.

Selain itu, Shaaban berkata, tumpuannya tahun ini bukan setakat di MMO sahaja tetapi ada misi yang lebih besar untuk dicapai dan dengan itu dia telah meletakkan satu sasaran bagi penglibatannya bagi tahun 2011 ini.

“Secara keseluruhan, tahun ini saya meletakkan satu sasaran iaitu untuk menang satu gelaran pada Jelajah Asia dan harap akan tercapai,” katanya.

Sebelum bergelar pemain profesional, Shaaban merupakan pemain amatur yang berada di ranking pertama Malaysia pada tahun 2001 dan 2002. Selepas itu, dia terus mencipta nama di peringkat Asia berada dalam kelompok sepuluh terbaik pada Kejohanan Terbuka Brunei (ke-9) dan berada di tangga ke-11 pada Kejohanan Worldwide Holdings Selangor Master Malaysia 2009.

Manakala pada tahun 2010, dia turut menamatkan permainan di tangga kesepuluh pada Kejohanan Terbuka Kemboja. Paling membangggakan dia adalah satu-satunya pemain tempatan yang menggalas cabaran pada Kejohanan Golf Asia Pasifik Klasik CIMB Malaysia.

Kejohanan MMO edisi ke-50 tahun turut menampilkan Todd Hamilton, Matteo Manassero, John Parry, Andrew Dodt, Soren Kjeldsen, Pablo Martin, Rhys Davies, Thongchai Jaidee, Marcus Fraser dan Noh Seung-Yul dari Korea.

Perebutan hadiah lumayan bernilai AS$2.5 juta (RM7.6 juta) bakal terjawab hari ini selepas empat hari kejohanan berlangsung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: