Monday, April 18, 2011

Hanya hujan di Kota London

Menara jam yang lebih dikenali sebagai Big Ben merupakan sebahagian daripada bangunan Parlimen berasaskan seni bina Gothic Victoria.

MUSIM sejuk, kenapa tidak? Sejak mula mengembara pada tahun 2007, penulis hanya berkunjung ke negara empat musim iaitu musim bunga, musim luruh dan musim panas.

Faktor suhu sehingga di bawah paras beku pada musim sejuk menyebabkan penulis lebih selesa untuk mengembara pada musim lain.

'Tower Bridge' yang disimbahi dengan cahaya lampu menjadikan pemandangannya pada waktu malam begitu indah.

Namun gerak hati penulis yang pernah mengimpikan percutian ‘berhujankan salji’ sejak kecil berkata: “Kenapa tidak mencuba sesuatu yang baru?”.

Destinasi pertama

Rasa sejuk menusuk sehingga ke tulang setibanya di Lapangan Terbang Heathrow pada pukul 5 pagi selepas penerbangan selama 13 jam dari Kuala Lumpur.

Selain The Lion King, dewan-dewan teater muzikal di London turut penuh dengan persembahan terkenal seperti Mamma Mia.

Persekitaran begitu dingin berikutan cuaca pada hari pertama di London mendung dan hujan beberapa kali tetapi masih boleh untuk keluar bersiar-siar.

Tidak peduli tentang sindrom jet lag, penulis berdegil untuk ke destinasi pertama iaitu Piccadilly Circus yang terletak di persimpangan paling popular di kota London.

Populariti Piccadilly Circus sehingga ia diberikan jolokan sebagai Times Square New York kerana paparan papan iklan berlampu neon gergasi.

Gereja Westminster Abbey bakal menyaksikan hari bersejarah perkahwinan pasangan Putera William dan tunangnya Kate Middleton pada 29 April ini.

Persimpangan yang dilalui oleh seramai 56 juta orang setahun tidak termasuk paparan poskad dan gambar yang diambil pelancong itu menjadikannya sebagai ‘lubuk emas’.

Syarikat kumpulan hartanah komersial yang mengendalikan paparan iklan itu, Tim Allibone of Land Securities mengaut keuntungan berjuta-juta pound setahun.

Jika diimbas, ia seperti papan iklan besar di persimpangan paling sibuk di Kuala Lumpur di antara Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang.

London Eye tersergam indah di tebing Sungai Thames.

Tebing Sungai Thames

Dari Piccadilly Circus, penulis berjalan kaki ke Trafalgar Square, pusat tumpuan pelancong seluruh dunia yang terletak betul-betul di hadapan The National Gallery.

Kemudian, penulis menyusuri Jalan Northumbland Avenue dan melalui sebuah jambatan merentasi Sungai Thames untuk melihat London Eye di tebingnya.

Penulis (kiri) sedang menugu tren bawah tanah atau Tube di Stesen Paddington.

London Eye yang mempunyai 32 gondola itu dinaiki lebih 3.5 juta orang setiap tahun dan pernah mencatat rekod sebagai roda feris tertinggi di dunia sejak 1999.

Ia kini hanya menjadi roda feris tertinggi di Eropah selepas kemunculan roda feris Star of Nanchang di China pada 2006 dan Singapore Flyer pada 2008.

Perkahwinan terhebat

Dari seberang Sungai Thames di London Eye, sesiapa saja boleh melihat menara jam Big Ben yang sangat terkenal sebagai mercu tanda United Kingdom.

Nama Big Ben diambil sempena Pesuruhjaya Pembinaan British pada 1856, Sir Benjamin Hall yang merujuk pada loceng besar di dalam menara jam tersebut.

Ia merupakan sebahagian daripada bangunan Parlimen yang berasaskan seni bina Gothic Victoria yang terletak bersebelahan dengan sebuah gereja klasik.

Dikenali sebagai Westminster Abbey, gereja ini bakal menyaksikan hari bersejarah perkahwinan pasangan Putera William dan Kate Middleton pada 29 April ini.

Namun selepas ini ‘takhta’ lelaki bujang terhangat di Britain (mungkin juga di seluruh dunia) bakal dimiliki oleh adiknya, Putera Harry.

Melihat Westminster Abbey tersergam indah di hadapan mata; “Bertuahnya kalau diundang ke perkahwinan yang dikatakan terhebat abad ini,” kata hati penulis.

‘Hidup’ malam kota

Aktiviti penulis pada malam pertama di London diisi dengan menyaksikan persembahan teater muzikal The Lion King di Teater Lyceum, Wellington Street.

Selain The Lion King, dewan sering penuh dengan teater muzikal Mamma Mia, Legally Blonde, Grease, The Phantom of The Opera, Dirty Dancing dan Billy Elliot.

Sebuah balang gergasi yang berisi kapal layar merupakan antara sebahagian penyeri di Trafalgar Square.

Ini pastinya tidak membosankan pengembara setelah penulis dapati kebanyakan premis di London ditutup seawal pukul 7 malam.

Dengan aktiviti persembahan dan kesenian seperti teater muzikal Lion King, ia ‘menghidupkan’ sedikit malam dingin musim sejuk di kota London.

Bagaimanapun, penulis merasa sedikit ralat kerana masih belum berpeluang menikmati salji kerana hanya hujan yang membasahi bumi London.

Sabarlah, penulis tenang melayan perasaan sendiri. Mungkin ada kejutan bakal menyusul selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: