Monday, April 18, 2011

Sedia diajar

  • Foto

  • Foto

Pelapis dalam kerja lakonan, Izara Aishah bersiap melangkah lebih jauh

SEMAKIN hari, bertambah ramai pelapis yang muncul dalam dunia lakonan. Bakat mereka cuba digilap dan diketengahkan sama ada dalam filem atau drama.Tuntutan stesen TV yang memerlukan banyak program, terutama drama bersiri begitu juga dengan jumlah penerbitan filem semakin meningkat membuatkan keperluan mencari bakat baru atau pelapis dalam lakonan sentiasa dicari. Antara mereka ini ialah Izara Aishah, gadis berusia 19 tahun kelahiran Johor Bahru, Johor.
Sebagai orang baru dalam dunia lakonan, memang nama Izara Aishah masih janggal didengar. Tambahan pula kemunculan wajah baru dalam kerjaya lakonan sekarang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Begitulah ibaratnya industri hiburan tanah air sekarang, di mana artis perempuan baru muncul bagaikan cendawan tumbuh melata dan masing-masing mahu menonjolkan bakat yang ada.

Akur dengan persaingan yang semakin sengit, masing-masing berani tampil ke hadapan dengan hasrat mahu menyerlah dan mencipta nama di persada seni tanah air.

Izara Aishah sendiri sedar apabila namanya disebut, tidak ramai yang mengenali gerangan pelakon remaja ini. Namun, tidak dinafikan dia mempunyai pakej yang lengkap. Dia juga tidak takut untuk mengorak langkah yang lebih jauh di dalam dunia lakonan tanah air.

Mempunyai nama yang unik, Izara Aishah, kini menetap di Kuala Lumpur sememangnya menyimpan cita-cita untuk menjadi pelakon. Mula berjinak dengan membabitkan diri di dalam dunia teater sejak berumur 12 tahun lagi, Izara tidak mengetahui dia mempunyai bakat sebagai pelakon dan perlahan-lahan dia mengasah bakatnya supaya boleh dipertontonkan kepada orang ramai.
Seperti orang mengantuk, disorongkan bantal, Izara merasakan dirinya cukup bertuah kerana dilamar untuk membintangi drama bersiri, Keranamu Laila yang sudah pun disiarkan di TV3.

“Saya merasai sangat bertuah kerana diberi peluang untuk menjayakan sebahagian dari watak utama dan pada masa yang sama, saya sangat bersyukur.

“Bukan senang untuk seorang artis baru seperti saya untuk mendapatkan watak utama di dalam sebuah drama yang disiarkan di salah satu rangkaian televisyen yang ternama.

“Selain dapat berlakon bersama barisan pelakon yang berpengalaman, saya juga merasa teruja kerana dapat mempelajari seni lakonan bersama salah seorang guru di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Juhara Ayob, yang juga antara pelakon dalam drama Keranamu Laila.

“Ini bukannya peluang yang diambil remeh. Malah, bersama pengarah, Heykal Hanifah juga saya banyak belajar kerana dia bukan saja mengarah tapi pada masa yang sama dia mengajar serta menegur saya secara tidak langsung saya dapat memperbaiki kelemahan diri saya,” katanya yang ditemui di Studio Berita Harian, baru-baru ini.

Berguru dengan pelakon berpengalaman

Pelajar tahun pertama jurusan seni persembahan di Sunway University College ini juga giat berlakon teater sejak di zaman persekolahan dan banyak terbabit dalam pementasan di universiti.

Teater Tok Rimau adalah antara pementasan pertamanya, di mana dia berpeluang untuk bergandingan bersama pelakon berpengalaman seperti Fauziah Nawi, pelakon yang terkenal dengan keberkesanannya dalam apa saja watak yang dilakonkan.
Selain Fauziah Nawi, gadis ini juga menyimpan impian untuk berlakon di samping Ogy Ahmad Daud yang terkenal dengan ketegasan beliau.

Manakala, drama terbitan Color Bar Pictures, Hantu Gigi, yang ditayangkan di Astro Prima, adalah drama pertamanya, diikuti Kasih Najihah, sedikit sebanyak membantu menaikkan namanya sebagai pelakon.

Tahun 2011 ini diakui adalah tahun tuahnya dan walaupun dia baru saja membintangi tiga drama, sudah banyak pengarah yang mula memberi perhatian kepada gadis kecil molek ini, antaranya pihak KRU Production yang sudah mula melamar dirinya.

Ternyata bakat gadis ini mula diperakui dan tidak mustahil tidak lama lagi Izara mampu duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi bersama kalangan pelakon wanita seperti Diana Danielle, Scha Alyahya dan Lisa Surihani.

Selain itu, seperti Scha Alyahya, Izreen Azminda dan Neelofa, Izara juga lahir dari platform yang sama. Naib juara pertandingan Dewi Remaja 2010 ini akui dia banyak belajar dari seniornya Scha, bagi menjayakan wataknya sebagai seorang gadis kasar di dalam drama terbarunya yang sedang disiarkan di slot Zehra, TV3.

“Sesuatu yang agak berbeza dan mencabar kerana saya diberi watak Laila, seorang remaja yang kasar dan mempunyai banyak karakter, serta ia amat berlainan dengan diri saya yang sebenarnya. Oleh itu, saya banyak membuat kajian dan belajar dari watak Scha dalam Awan Dania,” ujar gadis ini yang cukup meminati Eman Manan, Ogy Ahmad Daud dan Ummi Nazeera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: