Wednesday, April 13, 2011

Cipta sistem kereta pintar


C. Aravindran memberi penerangan kepada Timbalan Pengarah 1 (Akademik) Politeknik Kota Bharu, Wan Azlan Wan Ismail (tengah) mengenai penggunaan sistem kereta pintar di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 12 April – Penat lelah lebih setahun membuahkan hasil buat dua sahabat apabila model Sistem Kereta Pintar RFID ciptaan mereka dinobatkan sebagai projek inovasi terbaik pada Pameran Inovasi dan Teknologi (Inotex) 2011 Politeknik Kota Bharu, baru-baru ini.

C. Aravindran 21, dan Yasser Asraf Zainuddi, 21, pelajar semester akhir Diploma Kejuruteraan Elektrik (DKE) itu berjaya menghasilkan model sistem keselamatan kereta berasaskan pengenalan frekuensi radio generasi kedua yang lebih baik daripada sistem sama yang kini berada di pasaran.

Projek yang melibatkan modal pembangunan mencecah RM1,000 itu merupakan antara 79 projek hasil ciptaan 192 pelajar semester akhir dan tiga pensyarah yang dipamerkan di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar politeknik tersebut.

Ketua kumpulan, Aravindran ketika ditemui berkata, kelainan yang dicetuskan pada model ciptaan mereka adalah penggunaan isyarat frekuensi radio yang dapat mengaktifkan kunci kereta.

“Sistem itu menggunakan frekuensi radio sebagai kunci utama kereta yang mana pengguna hanya dapat menghidupkan kereta sekiranya ia terlebih dahulu diimbas dengan kad imbasan yang mempunyai gelombang sama.

“Setelah melakukan imbasan sama ada pada papan pengenal yang dipasang di cermin ataupun di stereng, barulah sistem itu membenarkan pengguna menghidupkan suis kereta dengan kunci di tangan mereka.

“Malah, sekiranya pengguna meninggalkan kereta dalam keadaan tergesa-gesa, ia tidak menimbulkan masalah kerana sistem ini secara automatik ‘mengunci’ dan menjamin keselamatan kereta mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Aravindran berkata, dia dan Yasser berulang-alik ke kedai aksesori dan sistem keselamatan berdekatan politeknik untuk belajar daripada tauke di situ tentang sistem asas yang diguna pakai pada produk jualan.

Katanya, dalam masa sama, mereka berusaha membina, memperbaiki dan menambah baik sistem litar dan pendawaian daripada konsep sedia ada dan sentiasa merujuk sebarang perubahan yang dilakukan kepada penyelia projek yang juga Ketua Program Elektrik dan Elektronik PKB, Mazeree Mohd. Nawi.

“Malah beliau sedia memberikan keretanya sebagai bahan uji kaji untuk kami mencuba keberkesanan prototaip Sistem Kereta Pintar RFID ini dan kami bersyukur kerana penat lelah ini akhirnya berbaloi,” katanya.

Yasser berkata, prototaip keselamatan yang dibangunkan itu juga dilengkapi sistem cap jari dan penggera serta amat sesuai digunakan oleh golongan yang menggunakan kereta mewah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: