Wednesday, April 13, 2011

UTeM raih kejayaan di Geneva


PENYELIDIK Universiti Teknikal Malaysia Melaka bersama hadiah yang dimenangi mereka di Geneva, baru-baru ini.


MELAKA 12 April – Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta kejayaan gemilang apabila meraih dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada Pertandingan Inovasi Antarabangsa Ke-39 di Geneva, Switzerland berakhir Ahad lalu.

Lebih manis apabila pasukan penyelidik dari UTeM turut menerima anugerah khas daripada Persatuan Automobil Swiss.

Ketua pasukan penyelidik UTeM, Dr. Zamberi Jamaluddin berkata, pertandingan inovasi di Geneva merupakan acara yang mendapat perhatian dunia yang mana pereka, penyelidik dan pihak industri berhimpun di bawah satu bumbung untuk melihat kehebatan produk inovasi yang dihasilkan.

“Kejayaan kami di sini adalah berkat doa seluruh warga UTeM yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan terhadap usaha kami untuk mengharumkan nama universiti dan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih penting katanya, produk inovasi yang dipamerkan oleh pasukan penyelidik dari universiti berkenaan telah menarik minat beberapa syarikat antarabangsa untuk menjadi rakan strategik dalam memasarkan produk berkenaan.

Beliau berkata, antara syarikat yang berminat ialah Dan Technocraft dari Perancis, Alpheus.Com dari Switzerland serta agensi pemasaran dan pengkomersialan dari Itali, Jerman dan Croatia.

Pada pertandingan tersebut, produk yang merangkul Anugerah Khas daripada Persatuan Automobil Swiss dihasilkan oleh penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) yang diketuai jurutera S. Siva Kumar.

Produk yang diberi nama ‘SD- Traffic Light’ merupakan inovasi terhadap lampu isyarat yang memberi kemudahan kepada pemandu yang mengalami masalah rabun warna.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ahmad Yusoff Hassan berkata, kejayaan penyelidik universiti itu di Geneva membuktikan hasil inovasi dari Malaysia mampu memberi impak besar kepada perkembangan teknologi masa kini.

“UTeM sebagai universiti teknikal di negara ini akan terus menggandakan usaha untuk mempelopori bidang penyelidikan berteraskan teknologi tinggi bagi merealisasikan visi ke arah universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: