Saturday, April 23, 2011

Cinta pandang pertama Rajagobal


K. Rajagopal mengambil masa lima tahun sebelum meluahkan perasaan cinta kepada M. Chanthra dan meminangnya pada 1983.


APABILA skuad bola sepak negara berjaya menjulang Piala Suzuki AFF penghujung tahun lalu, populariti Ketua Jurulatihnya, K. Rajagobal, 55, melebihi penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Beliau bukan sahaja dikenali di kalangan peminat-peminat sukan bahkan kehadirannya turut disedari kanak-kanak serta suri rumah.

Kredibilitinya sebagai seorang jurulatih ketika di padang tidak dapat disangkal malah sewaktu ditemui S2 di kediamannya baru-baru ini ternyata Rajagobal sememangnya merupakan seorang yang tegas dan berdisiplin.

Pertemuan bersamanya satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan begitu sahaja apatah lagi untuk membuat temu janji bersamanya amat sukar.

Maklum sahaja, orang penting dan yang pasti perbualan hampir dua jam itu mampu mencungkil kisah percintaannya bersama isteri tersayang, M. Chanthra, 53.

Menurut Rajagobal, kisah percintaannya tidak begitu menarik untuk diceritakan kerana zaman dahulu tidak seperti zaman sekarang yang mana pasangan bebas untuk keluar bersama.

‘‘Pertemuan dengan Chanthra adalah secara kebetulan ketika saya berkunjung ke rumahnya kerana memenuhi jemputan abangnya.

‘‘Kiranya itulah pertama kali saya berjumpa dengannya dan boleh dikatakan ia cinta pandang pertama.

‘‘Ia berlaku pada tahun 1976 dan ketika itu umur saya baru 20 tahun,’’ ujar anak kelima daripada enam beradik ini.

Tambah beliau, walaupun pertemuan itu merupakan cinta pandang pertama, tetapi masing-masing tidak pernah berpeluang untuk berjumpa apatah lagi untuk meluahkan perasaan masing-masing.

Ini kerana pada zaman itu ditambah pula dengan didikan yang penuh disiplin daripada keluarga menjadikan masing-masing tidak berkesempatan untuk mengenali hati budi masing-masing walaupun melalui surat.

Menyingkap kenangan silam, Rajagobal serta Chanthra hanya menyerahkan kepada takdir untuk menentukan jodoh masing-masing.

Apa yang menarik mengenai kisah mereka ini, selepas lima tahun barulah masing-masing berpeluang untuk meluahkan perasaan masing-masing.

Sudah pasti ia dimulakan oleh Rajagobal tetapi itupun melalui rakan Chanthra dan apabila ditanya kenapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk berbuat demikian, Rajagobal menjelaskan:

“Ketika itu masing-masing masih muda selain mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga ditambah pula kakak serta abang yang masih belum berumah tangga.”

Rentetan daripada itu, tanpa pengetahuan Chanthra, Rajagobal menghantar rombongan meminang seterusnya mengikat tali pertunangan pada 10 Disember 1983.

‘‘Boleh dikatakan kami merupakan pasangan yang bercinta selepas bertunang kerana dari situlah bermula segala-galanya.

‘‘Walaupun sebelum itu kami tidak pernah berkomunikasi termasuk melalui surat, sudah tertulis jodoh antara kami, akhirnya kami disatukan pada 18 Mac 1984.

‘‘Dan semuanya berjalan dengan baik, kini kami bahagia dengan dikurniakan dua orang cahaya mata,’’ ujar Chanthra pula.

Menurut Rajagobal, selepas bertunang barulah dia dan Chanthra berani keluar untuk makan malam itu pun di sekitar kawasan rumah sahaja.

Bercerita lanjut mengenai keperibadian Rajagobal, jelas Chanthra, suaminya sememangnya merupakan seorang yang penuh disiplin, garang dan cepat marah.

Bagaimanapun, itu semua bukanlah satu masalah kerana dia sudah mengetahui perangai suaminya itu sejak mula berkawan.

Dalam pada itu, Rajagobal tidak menafikan malah memberitahu bahawa itulah sifat sebenarnya baik ketika di padang mahupun ketika bersama keluarga.

‘‘Walaupun saya seorang yang garang dan cepat marah tetapi anak-anak buah (pemain bola sepak) tetap hormati saya dan bukannya takut.

‘‘Saya juga bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri dan anak-anak yang cukup memahami kerjaya saya sebagai seorang jurulatih.

‘‘Saya rasa kalau perempuan lain mungkin sudah lari meninggalkan saya kerana tidak tahan dengan perangai saya ini,’’ katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: