Saturday, April 23, 2011

Koleksi pisau chef Adrian


CHEF Adrian menyifatkan pisau umpama jiwa memasak beliau.


HAMPIR setiap resipi bermula dengan satu arahan seperti memotong seekor ayam, menghiris bawang, mengisar bawang putih, membelah tomato atau mungkin mengupas sebiji buah avacado.

Oleh itu, tukang masak profesional atau lebih dikenali sebagai chef sudah tentu memiliki kemahiran memotong lebih pantas dan teliti.

Sama ada chef tersebut memasak di hotel lima bintang ataupun di rumah, sebaik sahaja mereka memperoleh kemahiran menggunakan pisau, sudah tentu menjadikannya sebahagian daripada keseronokan memasak.

Menariknya mengenai pisau yang digunakan oleh para chef terdiri daripada pelbagai jenis.

Minggu ini, S3 meninjau gajet pilihan Chef Executif dari Pullman Putrajaya Lakeside, Adrian Jackson yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masakan.

Sebelum bertugas di Pullman, Chef Adrian pernah bertugas di Amerika Syarikat, Dubai, Singapura dan Thailand.

Berbekalkan pengalaman itu, beliau diberi kepercayaan untuk mengetuai dapur B’s yang menghidangkan pelbagai juadah masakan Asia dan Barat.

Daripada sajian bufet pelbagai pilihan hingga ke ‘a la carte’, Chef Adrian kini berkongsi gajet pilihan beliau dengan pembaca setia S3.

Chef Adrian berkata, gajet pilihan yang kebiasaan dijadikan sebagai koleksi oleh para chef ialah pisau.

Sejak menceburi bidang tersebut, Chef Adrian telah mengumpul 18 pisau yang dibelinya dari pelbagai negara sebagai koleksi peribadi.

“Pisau yang saya beli dijadikan sebagai kenangan setelah saya menamatkan kontrak bekerja di luar negara. Antaranya dibeli dari Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Thailand dan Jepun.

“Boleh dikatakan sebilah pisau umpama jiwa memasak buat saya. Sebab itu saya tak kisah berbelanja untuk mengumpulkan koleksi tersebut,” katanya.

Menurutnya, antara jenama yang menjadi pilihan Chef Adrian ialah Mac dan Global. Mata pisau tersebut dikatakan tahan lasak dan sesuai digunakan di mana-mana dapur.

Katanya, antara sebahagian daripada koleksi beliau ialah seperti pisau boning, filet, blade, slicer, piller, sashimi, chopper dan utility yang digunakan untuk memotong bahan-bahan masakan yang berlainan.

“Dengan kemahiran memotong, memasak menjadi satu kerja yang menyeronokkan.

Tambahnya, jika chef memahami peranan setiap pisau, sudah tentu ia memudahkan lagi kerja-kerja di dapur.

“Sebagai tukang masak, kemahiran mengunakan pisau merupakan perkara asas yang diperlukan untuk memotong permukaan bahan masakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: