Sunday, April 3, 2011

Amy Search Terajui AF9!


Isu siapakah yang bakal memegang jawatan pengetua bagi program realiti popular Akademi Fantasia musim Ke- 9 (AF9) terungkai apabila penyanyi rock legenda tanah air, Amy Search dengan rasminya diumumkan sebagai pengetua pada malam tirai Akademi Fantasia yang berlangsung di Aeon AU2 Keramat, malam tadi. Bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengetua dan ketua dalam keluarga AF9 kali ini, pemilihan Amy Search juga telah menolak beberapa dakwaan yang mengatakan pihak Astro mahu menggunakan khidmat artis Indonesia popular, Ahmad Dhani sebagai pengetua terakhir Akademi Fantasia kali ini.

Melihat pada pengalaman sebagai otai dalam bidang seni suara, selain pernah bergelar pelakon sedikit masa dahulu, Amy Search dilihat menjadi pilihan terbaik untuk mengemudi AF kali ini.

"Saya berterima kasih kepada tenaga AF kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mengemudi AF musim yang terakhir dan dengan apa yang diberikan saya akan cuba mendidik pelajar-pelajar yang sememangnya sudah mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menjadi bintang,"katanya di sidang media yang dilakukan selepas tirai konsert pembukaan berlangsung.

Bercerita tentang tawaran yang diberikan oleh pihak Astro kepadanya ini, jelas Amy pada awalnya dia enggan menerima tawaran tersebut.

"Ketika isteri saya memberitahu tentang tawaran ini, saya memang terkejut besar dan tidak menyangka sama sekali, dan pada awalnya saya enggan menerima tawaran tersebut, tetapi melihat pada tahap kepercayaan mereka akhirnya saya bersetuju,"sambungnya lagi.

Antara pengiat seni yang pernah mengemudi akademi popular ini adalah Fredie Fernadez (AF1), Datuk Ramli MS (AF2 dan AF6), Datuk M.Nasir (AF3), Ramli Sarif (AF4), Roslan Aziz (AF5), Datin Tiara Jaclina (AF7), dab Norman Halim (AF8).

Sebelum ini, satu sidang media terdahulu sudah pun dibuat oleh Astro untuk mengumumkan 12 orang pelajar dan tenaga pelajar yang terdiri daripada Fatimah Abu Bakar, Ning Baizura, A.Aris, Syafi, dan Adlin Aman Ramli.

Akademi Fantasia musim kesembilan ini memulakan siaranya di Astro Ria saluran 104, melalui konsert pengenalan Tirai AF pada malam semalam dan akan meneruskan rutin konsertnya setiap hari Sabtu jam 9.00 malam mulai 9 April depan.

Masih mengekalkan format pemarjahan seratus peratus undian penonton melalui sistem pesanan ringkas sms atau AFUNDI , AF terakhir ini juga dijangka akan mengembalikan nostalgia selama sembilan musim mereka bersiaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: