Monday, April 4, 2011

Angkasa sasar 200 koperasi sekolah di Sarawak

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan 200 buah sekolah di Sarawak menjadi ahli pertubuhan itu menjelang 2013.

Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran itu berikutan pencapaian keseluruhan koperasi sekolah dan dewasa di Sarawak menunjukkan peningkatan yang tinggi dari segi nilai modal saham serta aset terkumpul.

"Kita sedia maklum koperasi sekolah di Sarawak juga menjadi penyumbang kepada usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk menambah nilai modal saham dan aset dengan memberi lebih tumpuan kepada bidang perniagaan yang lebih menguntungkan di sekolah-sekolah.

"Angkasa akan berperanan menyasarkan keahlian koperasi sekolah dan membantu memajukannya. Setakat ini hanya 181 keahlian koperasi yang mendaftar di Sarawak dan dijangka meningkat kepada 200 buah sekolah menjelang 2013," katanya.

Menurutnya lagi, statistik menunjukkan sehingga 31 Disember lalu, 8,164 keseluruhan koperasi sekolah dan dewasa seluruh negara melibatkan keanggotaan seramai lapan juta ahli dengan jumlah aset RM75.13 bilion serta perolehan anggaran RM10 bilion yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Daripada jumlah itu koperasi sekolah sebanyak 2,115 buah, modal yuran RM17.3 juta, aset terkumpul 177.7 juta dan modal pusingan RM195.1 juta," katanya.

Abdul Fattah berkata, koperasi sekolah menjadi medan pendedahan awal untuk memberi pengalaman kepada pelajar dalam bidang keusahawanan.

"Minat yang ditunjukkan itu membuktikan keyakinan dalam pengurusan koperasi sekolah yang amat tersusun di bawah penyeliaan Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Abdul Fattah menambah, koperasi sekolah di Sarawak mampu memberi saingan kepada koperasi dewasa jika mempunyai perancangan tersusun dan konsisten selain semangat yang gigih daripada pelajar dan guru.

"Apa yang paling penting adalah sokongan dan ruang perniagaan yang diberikan pengetua sekolah terhadap koperasi masing-masing," katanya,

Kewujudan koperasi sekolah, jelas beliau, adalah untuk membentuk perubahan sikap serta minat pelajar menceburi bidang perniagaan dan bukannya untuk mencari keuntungan semata-mata.

Oleh sebab itu, katanya, kejayaan model koperasi sekolah di Malaysia telah dijadikan contoh oleh negara lain yang ingin menerapkan semangat berkoperasi kepada generasi muda bermula dari bangku sekolah.

''Usaha ini telah memberi peluang kepada banyak pihak untuk memupuk semangat ingin maju di kalangan pelajar dan sekali gus bersama-sama membantu membangunkan negara pada masa akan datang.

''Melalui Hari Koperasi Sekolah, Program Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah, Pelancongan Koperasi Sekolah pelajar bukan sahaja berpeluang memahami gerakan koperasi tetapi dapat membuka mata dan minda mereka tentang betapa besar kesan peranan Angkasa terhadap ekonomi negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: