![]() |
| Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menurunkan tandatangan di atas plak sambil diperhatikan Norazman Siron pada Majlis Malam Setulus Budi anjuran PIBG SMK Petaling di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petaling berjaya mengumpul dana sebanyak RM36,000 untuk dijadikan sumber kewangan tambahan bagi menaik taraf prasarana sekolah itu.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, usaha yang dilakukan oleh pihak PIBG untuk membantu pembangunan sekolah wajar diberi pujian serta perlu dicontohi.
"Kesepaduan ini tidak akan dapat dicapai jika tiada permuafakatan antara pihak sekolah dan PIBG dalam sama-sama berusaha untuk memberikan sesuatu kepada sekolah.
"Usaha seperti ini seharusnya dicontohi kerana pihak sekolah tidak hanya berharap kepada insentif kerajaan semata-mata untuk membangunkan infrastruktur serta kemudahan di sekolah," ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Setulus Budi SMK Petaling di Pusat Komuniti Lembah Pantai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM10,000 bagi SMK Petaling serta sekolah-sekolah lain di kawasan Lembah Pantai.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah, Norazman Sirun memberitahu, dana yang dikumpul melalui penjualan meja-meja sempena majlis makan malam itu akan digunakan bagi tujuan menaik taraf prasarana sekolah serta sumbangan kebajikan untuk pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan.
Menurut beliau, keperluan dan prasarana pendidikan bagi pelajar pada masa kini adalah lebih canggih serta memberi penekanan terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
"Pendekatan yang disesuaikan dengan kehendak semasa mampu untuk mendorong pelajar memberi perhatian yang penuh serta meningkatkan minat mereka untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: